27 April 2013

Analisis PRU-13: Lipur-lara Anwar hanya jadi bahan ketawa

"SAYA berucap di Segamat, tak kurang 20,000 orang, di Seremban dan tempat lain sambutan macam tu juga,'' dabik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program ceramah beliau di Felda Lepar Hilir 1, Parlimen Paya Besar petang semalam.
Namun anehnya, yang berdiri di hadapan beliau petang semalam hanyalah kira-kira 150 orang sahaja, itu pun sebahagiannya merupakan penyokong pakatan pembangkang dari luar tanah rancangan tersebut.
Sedangkan di Lepar Hilir 1 sahaja mempunyai 2,183 pengundi dan itu belum dicampur dengan tanah rancangan berdekatan, Lepar Hilir 2 (1,435) dan Lepar Hilir 3, 1,616 pengundi.
Sebab itu, Anwar dalam ucapannya seakan-akan sudah 'angkat topi' apabila mengakui kawasan tanah rancangan Felda di Pahang termasuk kawasan Parlimen Paya Besar masih sukar ditembusi pakatan pembangkang.
Cuma mungkin bagi menyedapkan hati beberapa calon PKR yang hadir sama mendengar ceramahnya, Anwar berkata: 'Pahang baru nak mula'.
Hakikatnya, beberapa kedai kopi berhampiran lokasi program beliau masih dipenuhi sebahagian warga peneroka yang tidak teruja pun dengan kehadiran julung-julung kali Anwar ke situ walaupun seringkali Penasihat PKR itu berangan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 6 Mei ini.
Barangkali daripada mendengar ceramah Anwar, lebih baik mereka berbual soal hasil ladang sawit, memenuhi agenda minum petang sementara menantikan waktu maghrib daripada menjadi sebahagian kisah si luncai dan labu-labunya.
Ceramah Anwar pada sebelah malamnya di Chini 1 pula, kehadiran jauh lebih kecil berbanding di Segamat walaupun promosi dilakukan di serata ceruk.
Biar pun berceramah tanpa teks, namun sebahagian besar isinya diulang jaja dari setempat ke setempat dengan antaranya memperlekehkan dasar transformasi negara termasuk untuk luar bandar.
Kononnya kata Anwar, bunyi hebat tetapi semua untuk UMNO.
Ironinya, mereka yang mendengar ucapan Anwar itu terdiri daripada masyarakat Melayu yang berjaya diangkat taraf kehidupan daripada golongan miskin kepada masyarakat kelas pertengahan hasil agenda kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi Felda.
Masakan tidak, purata pendapatan bersih peneroka pada tahun lalu mampu mencecah RM5,000 sebulan hasil kebun sawit mereka seluas empat hektar itu.
Itu belum mengambil kira bantuan lain Felda yang merangkumi pelbagai aspek termasuk untuk generasi kedua daripada duit raya, perumahan, pinjaman perumahan tanpa faedah dan sebagainya. Belum lagi dicampur pemberian durian runtuh berikutan penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) pertengahan tahun lalu.
Sebab itu, dalam ceramahnya Anwar tidak menohmah Felda kerana jelas pembangkang tidak mempunyai isu besar untuk memburukkan agensi yang mempunyai jasa cukup besar kepada orang Melayu.
Beliau hanya membakar sentimen penyokongnya dengan lebih banyak menyentuh soal penyelewengan oleh kerajaan BN dan mengaitkan 'anak menteri itu dapat ini dan itu tetapi orang Felda dapat apa'.
Sedangkan dalam keasyikan Anwar di atas pentas membuat pelbagai aksi melucukan mengalahkan program komedi di televisyen yang kadang kala sukar untuk membuat penonton ketawa, masih ramai yang mampu mendengar hujahnya dengan penuh kritis dan analitikal kerana dakwaan demi dakwaan itu dibuat tanpa bukti kukuh.
Sebab itu, ada pengunjung kedai kopi di bandar Chini selepas mendengar ceramah Anwar semalam boleh mempersoalkan bagaimana pula dengan polemik menantu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif anak syarikat kerajaan negeri.
Itu hakikat bukan sekadar dakwaan. Kedengaran juga ada yang menyampuk, "apa kurangnya PKR, yang ada kuasa dalam parti, Ketua Umum, Presiden dan Naib Presiden semua anak beranak, macam mana pula kalau ada kuasa dalam kerajaan?"
Akhirnya, telunjuk lurus kelengkeng berkait! Mengata dulang paku serpih! - UTUSAN ONLINE
(Penulis adalah Ketua Biro Utusan di Pahang)

Tiada ulasan: