27 April 2013

Dolak-dalik keghairahan Pas, ketegasan DAP

Hasan Ali
*****
KUALA LUMPUR 25 April - Keghairahan terbaharu Pas untuk melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menunjukkan parti itu hilang punca atau flip-flop, sedangkan umum mengetahui DAP tegas menolak agenda itu.
Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, keadaan itu membuktikan Pas sebuah parti lemah yang tidak mampu menyaingi sikap dominan DAP apabila secara berterusan membangkang hasrat Pas tersebut.
Menurut beliau, kelemahan Pas yang semakin ketara turut disebabkan oleh pengaruh golongan Anwarinas yang merosakkan parti berkenaan.
Katanya, anggapan yang cuba dicipta pimpinan Pas kononnya DAP sanggup menerima perjuangan hudud itu semata-mata kerana pimpinan DAP sebelum ini membuat gimik bersedia menggunakan simbol Pas untuk bertanding merupakan sesuatu yang dangkal.
“Kenyataan balas Karpal Singh (Pengerusi DAP) yang enggan berundur seinci pun dari posisi asal mereka (menentang hudud walaupun bersedia menggunakan lambang Pas) membayangkan DAP sememangnya parti cauvinis Cina yang berhasrat menjadikan Malaysia negara sekular sejak awal lagi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din kononnya kesediaan DAP memohon menggunakan simbol Pas menandakan parti itu secara tidak langsung bersetuju dengan agenda perjuangan Pas.
Kenyataan Haron itu menimbulkan persoalan kerana DAP sebelum ini berulang kali menentang keras agenda hudud dan negara Islam manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah menegaskan agenda itu tiada tempat sama ada dalam konsensus atau dasar bersama pakatan pembangkang.
Sehubungan itu menurut Hasan yang juga bekas Naib Presiden Pas, ahli Pas perlu menggesa kepimpinan parti itu menolak PKR dan DAP.
“Bagi pengundi Melayu Islam tidak ada yang lebih tinggi daripada mengagungkan Islam dalam membuat pilihan dan atas dasar itu bukan PKR, bukan DAP dan bukan Pas yang mempunyai kekuatan dan daya juang tinggi untuk melaksanakan cita-cita agung meletakkan Islam kemercunya," katanya.

Tiada ulasan: