29 April 2013

Analisis PRU-13: Tolak pakatan pembangkang yang cuba gadai negara

DI MANA bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Begitulah peribahasa Melayu yang menggambarkan betapa pentingnya kita menghormati kedaulatan, dasar dan peraturan di mana-mana sahaja kita berada.
Malah, ini negara kita, Malaysia. Hanya kita dan pemimpin kita yang berhak menentukan corak dan warna masa depannya, bukannya orang lain.
Demi maruah bangsa dan negara, kita yang memiliki masyarakat majmuk perlu mempunyai identiti tersendiri dan menolak campur tangan luar ke negara ini.
Negara ini bukan bayangan Amerika Syarikat, ini juga bukan Singapura, bahkan bukan Israel.
Jangan sesekali cuba mencampuri urusan negara kami!
Tindakan pakatan pembangkang yang cuba mendapatkan bantuan dan dana asing bagi menjayakan matlamat mereka untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan memerintah negara, amat dikesali.
Hal itu bukan perkara baharu. Malah, sebelum ini banyak agensi dan pertubuhan tempatan yang telah mendapat tajaan dan bantuan dana asing seperti portal Malaysiakini, pertubuhan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan beberapa pertubuhan lain.
Sebenarnya, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Apa yang akan terjadi sekiranya pembangkang berjaya menguasai Malaysia dan menjadi boneka kepada pengaruh luar?
Sudah tentu Malaysia akan menjadi negara caca-merba. Sudah tentu banyak agenda nasional tidak dapat dicapai, sebaliknya akan menjadi agenda untuk memenuhkan kantung kocek individu-individu berkepentingan.
Jangan sampai menang sorak, kampung tergadai.
Cuba kita melihat contoh dua negara jiran, Thailand dan Indonesia yang berhadapan kemelut ekonomi dan politik gara-gara campur tangan asing, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Indonesia kini berhadapan kemarahan rakyatnya kerana kerajaan pemerintahnya cuba menaikkan harga minyak setelah mengambil kira subsidi bahan bakar dihapuskan seperti mana saranan IMF.
Manakala Thailand sehingga kini bergelut dengan krisis politik yang tidak berkesudahan sejak 2006 dan sudah semestinya menarik minat campur tangan asing.
Thailand dan Indonesia merupakan dua negara yang akrab dengan IMF.
Keakraban itu terbukti apabila IMF telah memilih Thailand sebagai pejabat bantuan teknikal serantaunya.
Sementara Indonesia yang kini berhadapan masalah kelemahan sistem infrastruktur dan masih lagi gagal menangani masalah kemiskinan rakyatnya pada Julai tahun lalu, merancang meminjamkan modal dalam bentuk bon kepada IMF bernilai AS$1 bilion (RM3.2 bilion).
Pinjaman itu konon-kononnya untuk digunakan sebagai dana bantuan kewangan ke negara-negara Eropah, Afrika dan Asia Tenggara.
Kini, 188 negara anggota IMF diambang krisis ekonomi yang serius dan memberi kesan teruk kepada negara berpendapatan rendah.
Langkah diambil bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang enggan dan mempertahankan negara daripada menerima bantuan IMF pada zaman kegawatan ekonomi dunia sekitar 1997 hingga 1998 amat dipuji.
Hasilnya sehingga kini, Malaysia masih lagi menjadi menjadi negara yang berdaulat dan dipandang tinggi menurut acuannya tersendiri.
Jadi, kepada para pengundi, berhati-hati dan perlu bijak memilih parti-parti yang mungkin akan menggadai maruah bangsa dan negara dengan campur tangan asing. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: