30 April 2013

Kit Siang dan Malaysian Malaysia

LIM Kit Siang menggunakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk bertanding di Gelang Patah sebagai percubaan mengukuhkan pengaruh DAP dan menghakis sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) di Johor.
Wujud tiga andaian di sebalik strategi DAP ini. Pertama, menguji kejituan semangat Melayu Johor selaku pencetus gerakan anti-Malayan Union pada tahun 1946.
Kedua, mengukur sokongan pengundi Cina serta merintis pengukuhan DAP di bumi kelahiran UMNO dan kubu utama Barisan Nasional (BN) sejak merdeka
Ketiga, mengeratkan jalinan psikologi dan jarak fizikal Malaysian Malaysia DAP dengan PAP di Singapura, selaku pelopornya.
Kit Siang, anak jati Johor ialah pegawai publisiti PAP sebelum Singapura menyertai Malaysia. Setelah Singapura disingkirkan, beliau antara kader yang mendukung PAP menerusi penubuhan DAP pada Mac 1966.
Ini sebabnya, walau DAP mempunyai jati diri undang-undang berbeza dengan PAP, "DAP adalah pewaris politik PAP di Malaysia dan juara kepada Malaysian Malaysia yang dipelopori oleh Lee Kuan Yew" (Comber 1983).
Ini juga puncanya "pemisahan Singapura dari Malaysia pada 8 Ogos 1965, sama sekali tidak menamatkan kempen Malaysian-Malaysia kerana DAP yang lahir sebagai 'anak PAP' hasil daripada pemisahan itu terus memperjuangkan matlamat PAP itu." (Dewan Masyarakat Februari 1975).
PAP dan Malaysian Malaysia sebati dengan Kit Siang. Lee Kuan Yew cuba "menyingkirkan MCA selaku wakil keturunan Cina dalam Perikatan" (Means 1976); Kit Siang berusaha menjadikan DAP pengganti MCA dalam BN.
Menjelang PRU-13, seluruh rakyat Malaysia wajar mengenali Malaysian Malaysia. Putuskan, ia mampu mewujudkan bangsa Malaysia bersatu padu atau menyebabkan rakyat dipecah-belahkan sentimen pelampau kaum.
Malaysian Malaysia, konsep jati diri nasional Malaysia yang majmuk, menurut definisi PAP serta empat parti politik di bawah Malaysian Solidarity Convention (MSC); dibentuk pada 8 Mei 1965 (Comber 1983; Ghazali 1990).
Intisarinya: "seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, budaya dan agama, berhak memperoleh layanan yang sama, berhak menuntut hak yang sama, berhak menikmati apa jua keistimewaan yang sudah diberikan kepada orang-orang Melayu" (Means 1976; Ghazali 1990).
Ia pernah dilabelkan sebagai perjuangan menghapuskan hak-hak istimewa Melayu (Utusan Melayu 8 Ogos 1965); juga sebagai penentangan terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu; hak-hak keistimewaan Melayu; Agama Islam; dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi (Utusan Melayu 16 Julai 1965).
Ringkasnya, Malaysian-Malaysia adalah konsep di mana "negara dan negeri tidak diidentitikan dengan keutamaan dan faedah-faedah satu komuniti atau bangsa sahaja" (Dewan Masyarakat Februari 1975).
PAP menyifatkannya sebagai bertujuan "mendakwahkan perpaduan kaum dan memperjuangkan hak-hak asasi semua bangsa, di mana faktor penyatuannya adalah lebih daripada soal bahasa atau ancaman luar, tetapi apabila tidak ada satu bangsa yang beraspirasi untuk menjadi bangsa tuan, dan apabila semua warganegara adalah setaraf tanpa mengira keturunan" (Lee 1998).
Apa pun hujahnya, ia bertujuan membolehkan rakyat bukan Melayu dan bukan bumiputera mendapat keistimewaan serupa dengan Melayu dan bumiputera. Ini bercanggah dengan "kontrak sosial" di sebalik pembentukan Perlembagaan Persekutuan (Rujuk Shad Faruqi 2012).
Kajian saya sejak 1983 hingga ke hari ini, merumuskan, konsep ini mencanggahi seluruh peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mendefinisikan jati diri nasional Malaysia majmuk di era merdeka.
Paling khusus sekali Fasal 3, Islam sebagai agama rasmi; Fasal 153, Bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan; dan Fasal 153 yang mentakrifkan keistimewaan Melayu dan bumiputera.
Tunku Abdul Rahman Putra menyifatkannya sebagai bangkangan terhebat yang objektif utamanya adalah mengenai hak-hak Melayu (Lau 2001).
Tan Sri Syed Jaffar Albar menegaskan, "orang Melayu tidak rela mengubah corak Malaysia seperti diidamkan oleh Lee Kuan Yew, kecuali orang Melayu telah menjadi mayat" (Utusan Melayu 2 Julai 1975).
Tan Siew Sin, mengingatkan rakyat, khasnya orang-orang Cina, "supaya sentiasa berhati-hati terhadap tindak-tanduk segolongan orang-orang Cina di negara ini yang berpura-pura menjadi 'juara' orang Cina dengan menyuarakan tentangan hak-hak istimewa orang Melayu" (Utusan Malaysia 8 Julai 1965).
"Orang-orang ini, berpura-pura memperjuangkan nasib Malaysia, tetapi berusaha menghancurkan Malaysia bagi kepentingan mereka sendiri. Kita tidak mahu jaguh-jaguh seperti ini yang bertujuan menimbulkan kacau-bilau dan pecah-belah" (ibid).
Khaw Kai Boh menyifatkan Malaysian Malaysia DAP sebagai perjuangan "anti-Melayu yang dengan sendirinya merosakkan kepentingan seluruh orang Cina" (Berita Harian 16 April 1969).
Lee San Choon berkata, "DAP cuba mewujudkan perpecahan dan suasana tidak harmoni antara kaum di negara ini menerusi perisytiharan menentang dasar kerakyatan, kebudayaan dan Bahasa Malaysia" (Berita Harian 15 November 1982).
Demikian Malaysian Malaysia, PAP, DAP dan Kit Siang. Konsep ini pernah membawa padah. Ia menyebabkan Singapura disingkirkan daripada Malaysia pada tahun 1965.
Rakyat Johor - Melayu, Cina dan India - bertanggungjawab menghalang DAP menjadikan Johor sebagai kubunya. Rakyat Malaysia di seleuruh negara juga perlu menolak DAP menerusi PRU-13.

Tiada ulasan: