30 April 2013

PRU-13: Mengapa Pas masih terhegeh-hegeh - Tunku Aziz

KUALA LUMPUR 29 April - Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menyifatkan Pas terhegeh-hegeh untuk merapatkan diri dengan DAP sedangkan parti sekutunya itu jelas 'memaksa' mereka meninggalkan perjuangan Islam ala Pas.
Katanya, kenyataan pemimpin Pas yang mendakwa DAP sudah mula menerima perjuangan mereka menunjukkan parti itu masih terhegeh-hegeh mahu meraih kerjasama DAP yang dibuktikan menerusi penolakan beberapa pemimpin DAP di Johor dan Kedah terhadap perjuangan Pas.
Senario itu juga membuktikan sikap hipokrit para pemimpin atasan kedua-dua parti pembangkang tersebut.
Tunku Abdul Aziz berkata, tindakan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez dan Ahli Jawatankuasa DAP Kedah, S. Neelamekan yang meminta para pengundi bukan Islam supaya menolak Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) membuktikan ketidaksepakatan kedua-dua parti itu.
"Nasihat Norman dan Neelamekan supaya para pengundi Islam menolak Pas bermakna pengundi juga harus menolak DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mereka semua di bawah satu bumbung, dan mengapa Pas masih terhegeh-hegeh (bekerjasama dengan DAP)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan mengenai gesaan Norman kelmarin dan Neelamekan hari ini yang menggesa pengundi bukan Islam supaya tidak memilih Pas kerana parti itu menegaskan akan melaksanakan hudud Pas jika pakatan pembangkang memerintah kelak.
Bekas Ketua DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat pula menyifatkan tindakan para pemimpin Pas seperti Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa DAP telah mula menerima perjuangan Islam Pas sebagai kenyataan syok sendiri.
Katanya, dakwaan Nik Abdul Aziz itu ternyata salah dan merupakan satu pembohongan kerana pemimpin DAP telah berkali-kali menegaskan mereka tidak akan sesekali menerima pelaksanaan hudud mahupun penubuhan negara Islam seperti diperjuangkan Pas. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: