30 April 2013

Tiga EXCO PKR Kedah letak jawatan

Tiga EXCO  PKR Kedah letak jawatan
Pemimpin kecewa tak dicalon semula
Alor Setar: Tiga EXCO kerajaan Kedah dari PKR semalam, meletak semua jawatan dalam parti pada peringkat pusat dan negeri kerana kecewa dengan pimpinan pusat parti itu.
Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, Datuk S Manikumar; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Lim Soo Nee dan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Pengangkutan, Tan Chow Kang.
"Kami diperlakukan seperti tiada nilai oleh PKR pusat” S Manikumar, Penyandang DUN Bukit Selambau"
Tidak dicalon PRU-13
Ketiga-tiga mereka tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Manikumar yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Naib Pengerusi 3 PKR Kedah dan Timbalan Ketua Cabang PKR Merbok.

Chow Kang, penyandang kerusi DUN Sidam, meletak jawatan sebagai Naib Ketua PKR Kedah, Naib Ketua Cabang PKR Sungai Petani dan Pengerusi Pasukan Keadilan (Gabungan Tionghua).
Soo Nee, penyandang kerusi DUN Kulim, meletak jawatan sebagai Ketua Biro Aduan PKR Kedah.

Manikumar berkata, mereka berasa dikhianati kerana tidak langsung diberi penjelasan mengenai keputusan pucuk pimpinan parti yang tidak mencalonkan mereka untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Katanya, mereka bertiga akur dengan keputusan PKR pusat, namun ia sepatutnya dibuat secara berhormat dengan memaklumkan secara rasmi melalui surat atau cara lain yang sesuai.

Tidak dihargai
“Kami diperlakukan seperti tiada nilai oleh PKR pusat, apa yang kami buat tidak bermakna.

“Kami tegaskan di sini, bahawa kami tidak khianat pada perjuangan parti kerana masih kekal dalam parti tetapi parti yang khianat kepada kami,” katanya di Wisma Darulaman di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa, bersetuju tindakan PKR pusat tidak manis dan mengecewakan tiga EXCO terbabit, namun ia tidak sepatutnya digunakan untuk mengambil tindakan yang boleh menjejaskan persiapan parti.

http://o.bharian.com.my/bharian/articles/TigaEXCOPKRKedahletakjawatan/Article | hwa - 30/4/13

Tiada ulasan: