30 April 2013

PM minta rakyat beri mandat

Kuala Lumpur: Menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad ini, Datuk Seri Najib Razak semalam mengingatkan rakyat supaya menunaikan tanggungjawab untuk memilih pentadbir negara bagi tempoh lima tahun.

Pesanan penting mengenai hak mengundi itu disampaikan Perdana Menteri khusus untuk rakyat berbilang bangsa dan agama menerusi blognya, 1Malaysia.
 
Sokongan diperlukan
Beliau berkata, sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) diperlukan dan dihargai kerana ia akan membolehkan semua pihak berganding bahu dan bersatu padu untuk memastikan masa depan Malaysia terus terjamin.

“Berilah BN mandat anda supaya kami dapat terus berkhidmat untuk anda,” katanya.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau akan meneruskan kempen ke seluruh negara sehingga hari mengundi.

Katanya, sejak kempen PRU-13 bermula pada 20 April lalu, beliau turun padang ke Selangor, Perak, Sabah, Sarawak dan Johor, selain Pahang bagi menerangkan kepada rakyat mengenai aku janji BN menerusi manifesto parti yang dirangka.
“Calon BN di kawasan anda juga sedang bekerja keras untuk menerangkan kepada masyarakat di kawasan masing-masing mengenai aku janji BN dan bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada rakyat di negara ini,” katanya.

Hadiri ceramah
Presiden UMNO itu juga berharap rakyat dapat memberikan sokongan kepada calon BN dengan menghadiri ceramah dan kempen mereka di kawasan masing-masing.

Selain itu, katanya, perjalanannya sepanjang tempoh berkempen serta perkembangan terkini calon BN boleh diikuti menerusi laman sosial seperti Facebook dan Twitter. 
 
http://o.bharian.com.my/bharian/articles/PMmintarakyatberimandat/Article | hwa - 30/4/13

Tiada ulasan: