13 Mei 2013

Hasutan pembangkang dahsyat

WAN Ahmad Wan Omar menunjukkan buku Undang-Undang Malaysia pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, semalam. 
*****
PUTRAJAYA 11 Mei - Hasutan pembangkang melalui media sosial berjaya memperdaya rakyat terutama generasi muda melakukan demonstrasi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Sambil melahirkan rasa kecewa, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pemimpin pembangkang tidak sepatutnya mengheret dan menghasut anak-anak muda yang tidak arif berkenaan undang-undang membantah keputusan pilihan raya melalui demonstrasi.
"Tindakan mereka bukan sahaja melanggar undang-undang berkenaan jalan raya, multimedia dan perhimpunan aman, malah melanggar Perlembagaan Persekutuan.
"SPR menyeru rakyat yang sayangkan keamanan tidak terpedaya dengan dakyah dan fitnah pemimpin tertentu yang menghasut anak-anak muda dan pelajar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Rabu lalu, pemimpin pembangkang menghasut rakyat berhimpun di Stadium Kelana Jaya, Selangor bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 sehingga menimbulkan rasa kurang senang sebahagian besar rakyat dengan budaya berdemonstrasi yang dibawa mereka.
Wan Ahmad berkata, kesan hasutan sesetengah pemimpin pembangkang juga dapat dilihat dengan jelas dalam memorandum yang dihantar Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) kepada SPR di sini semalam.
Katanya, memorandum itu turut meminta Pengerusi SPR meletak jawatan sedangkan semua ahli SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Ada pula yang mendakwa 40,000 pengundi hantu dibawa untuk mengundi. Mereka tidak fikir bagaimana jumlah yang ramai itu boleh dibawa masuk ke negara ini semata-mata untuk mengundi," katanya.
Dalam masa sama, beliau kecewa terdapat pemimpin pembangkang termasuk seorang peguam yang menang dalam pilihan raya umum lalu mendakwa rakyat boleh melakukan bantahan terhadap keputusan pilihan raya.
"Persoalannya apakah bentuk bantahan yang boleh dilakukan? Kenyataan seperti ini tidak bertanggungjawab.
"Kalau tidak setuju dengan keputusan pilihan raya umum lalu dan ada bukti, tolong bariskan peguam-peguam hebat dan fail petisyen di mahkamah mengikut saluran undang-undang," katanya.

Tiada ulasan: