KOTA BHARU 12 Mei - UMNO tidak pernah mengamalkan perjuangan yang bersifat rasis sebaliknya sejak ditubuhkan, parti itu telah bekerja keras membawa kemajuan pada negara ini yang boleh dinikmati oleh semua kaum terutama Cina dalam sektor perniagaan.
Veteran UMNO Kelantan, Datuk Rozali Isohak berkata, walaupun jelas perjuangan parti itu berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan, namun dasar yang dibuat adalah secara adil iaitu mengutamakan Melayu dan bumiputera, tetapi kaum lain tidak pernah dipinggirkan.
Bekas Timbalan Menteri Besar II Kelantan itu berkata, pandangan bahawa UMNO adalah parti rasis hanya timbul selepas gerakan ekstremis DAP menggunakan sentimen perkauman sehingga kebanyakan rakyat terutama golongan muda lupa perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selama ini yang membawa kemakmuran negara.
"Memang betul apa yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata, cuma apa yang berlaku sekarang adalah orang tidak menilai semua itu. Kita memang bukan rasis walaupun kita Melayu tetapi berjuang untuk semua bangsa malah di Sabah dan Sarawak bukan orang Melayu sahaja menjadi ahli UMNO," katanya. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan