1 Mei 2013

Jangan jadi mangsa rakus DAP

JELEBU 29 April - Walaupun DAP berbangga dengan kehadiran ramai penyokong mereka sewaktu berceramah di Chennah dekat sini, situasi itu hanyalah keseronokan sementara.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN berkenaan, Siow Foo Wen berkata, lawannya, Pengerusi DAP, Loke Siew Fook (gambar) boleh bercerita, meletakkan gambar dalam laman sosialnya, tetapi itu bukanlah senario dalam kalangan pengundi di DUN Chennah.
'' Siew Fook mempunyai rekod perkhidmatan yang buruk ketika berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN Lobak dan tujuan beliau bertanding di sini kerana mahu melarikan diri daripada pengundinya dahulu selepas gagal menepati janji kepada rakyat," katanya di sini semalam.
Foo Wen memberitahu, pengundi akar umbi sudah tahu mainan politik Siew Fook, apatah lagi 'kelentong' yang dibawanya dengan mengatakan kerajaan BN tidak memberikan perhatian kepada masyarakat Cina.
''Pemikiran rakyat telah disuntik kebencian terhadap BN. Siew Fook dan DAP perlu ditolak. Pengundi harus matang dan tidak emosional ketika mengundi pada 5 Mei ini dan tetapkanlah pendirian bahawa BN adalah parti yang telah banyak berjasa kepada semua kaum," tegasnya.
Katanya, sikap tamak kuasa juga terbukti apabila Siew Fook bertanding di kerusi Parlimen Seremban.
''Saya tidak mahu penduduk di Chennah tertipu, kita perlu berhati-hati dengan apa yang diucapkan oleh DAP," katanya.

Tiada ulasan: