19 Mei 2013

Kerajaan DAP Pulau Pinang langgar polisi

Kawasan berbukit di Bukit Gambir berhampiran Kompleks Desasiswa Universiti Sains Malaysia kini sudah digondolkan sejak DAP memerintah Pulau Pinang. - Utusan/Ismail Kamadin 
*****
PULAU PINANG 15 Mei - Kerajaan DAP Pulau Pinang yang selama ini mendakwa negeri itu 'terbaik' dalam melaksanakan dasar hijau dilihat melanggar polisi yang digariskan apabila semakin banyak kawasan bukit dikesan telah digondolkan untuk pelaksanaan projek perumahan mewah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, antara yang terjejas adalah di Air Itam apabila kawasan bukit pada ketinggian lebih 30 meter dan keluasan lebih satu kilometer persegi di situ telah digondol.
Lebih membimbangkan, kawasan tanah tinggi yang dibersihkan itu terletak terlalu hampir dengan kawasan penempatan perumahan penduduk di kaki bukit berkenaan.
Keadaan itu dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya berlaku tanah runtuh jika hujan lebat.
Sementara itu, keadaan serupa juga dikesan berlaku di Bukit Gambir apabila beberapa kawasan bukit dibersihkan.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer meinta Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memberi penjelasan berhubung kawasan puncak bukit yang digondol di kawasan tersebut.
Menurut Rayer, beliau menerima aduan penduduk aktiviti itu rancak berlaku ketika musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru-baru ini.
Selain kawasan puncak bukit berkenaan, satu lagi kawasan yang turut digondol untuk projek perumahan mewah adalah di Bukit Gambir.
Tinjauan mendapati kawasan yang terletak berhampiran Kompleks Desasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) itu telah digondol menyamai dua kali ganda saiz padang bola sepak dan terletak hampir dengan kediaman penduduk.
Kesan aktiviti pembersihan kawasan bukit di situ dapat dilihat jelas dari Jambatan Pulau Pinang.
Menerima nasib sama adalah kawasan bukit Batu Uban berhampiran Terminal Bas Sungai Nibong.

Tiada ulasan: