
Phahrolrazi, Mahfuz Omar
*****
Beliau yang memegang jawatan tersebut sejak 2009, menghantar surat peletakan jawatan sehari selepas Pas Pusat mengumumkan Mahfuz dilantik mengisi jawatan tersebut menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada Ahad lalu.
Phahrolrazi berkata, surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar kepada Setiausaha Pas Kedah, Musoddak Ahmad selain turut memaklumkannya dalam mesyuarat khas jawatankuasa politik Pas Kedah malam tadi.
Menurutnya, beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah kerana mahu memberi laluan kepada Mahfuz melantik orang kepercayaannya di posisi paling kanan itu.
Jawatan itu dilantik oleh Pesuruhjaya negeri, bukannya menerusi undian. Kerana mahu menghormati Pesuruhjaya Pas Kedah yang baharu untuk mendapatkan timbalan kanan, wajar saya kosongkan jawatan supaya beliau dapat melantik orang kepercayaan dan individu yang rapat dengannya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelantikan Exco Kedah di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.
Pada Jun 2011, Pas Kedah yang ketika itu diterajui oleh Azizan sebagai Pesuruhjaya, merombak barisan kepimpinan parti berkenaan termasuk menggugurkan Mahfuz yang sebelum itu merupakan Timbalan Pesuruhjaya II dan Datuk Taib Azamuddin Md. Taib (Timbalan Pesuruhjaya III) daripada jawatan masing-masing.
Jawatan Mahfuz digantikan oleh Datuk Dr. Ismail Salleh manakala Taib Azamuddin digantikan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Md. Isa Shafie dan Phahrolrazi kekal sebagai Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah.
Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Pejabat Agung parti itu di Kuala Lumpur Ahad lalu melantik Mahfuz sebagai Pesuruhjaya Pas Kedah.
Phahrolrazi berkata, beliau berpendapat Pas Pusat sebelum ini mempunyai dua pilihan untuk membuat keputusan melantik Pesuruhjaya Pas Kedah yang baharu iaitu mengarahkan Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri memangku tugas atau menggugurkan Azizan dan melantik orang lain.
Disebabkan Pas Pusat mengambil pilihan kedua katanya, adalah lebih elok bagi beliau untuk melepaskan jawatan dan memberi peluang Mahfuz melantik pasukannya sendiri.
Beliau yang juga ADUN Pengkalan Kundur bagaimanapun masih mengekalkan jawatan sebagai Yang Dipertua Pas Kuala Kedah dan menegaskan jika Mahfuz ingin melantiknya semula sebagai Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, kemungkinan besar beliau akan menolak.
Saya tidak fikir Mahfuz akan melantik saya semula sebab saya pun tak berapa rapat dengan beliau. Biarlah beliau membawa idea baharu sebab kalau lantik yang lama masih lagi terikat dengan pendekatan lama," katanya.
Ditanya apakah pelantikan Mahfuz menjadi antara sebab beliau meletak jawatan atau sebagai tanda protes, Phahrolrazi yang menafikan perkara itu berkata, menjadi amalan biasa kepada mana-mana ahli untuk memberi ruang kepada ketua untuk melantik pembantunya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan