8 Mei 2013

Pemimpin asing ucap tahniah

Negara luar harap dapat kerjasama dengan kerajaan baru
Kuala Lumpur: Ramai pemimpin dan negara asing, termasuk Amerika Syarikat (AS) mengutuskan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Najib Razak sempena kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
“Kami mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana berjaya mengadakan pilihan raya yang paling kompetitif dalam sejarah negara,” menurut kenyataan dikeluarkan Kedutaan Amerika di sini, memetik pemangku timbalan jurucakap di Jabatan Negara Amerika, Patrick Ventrell.

“Kami puas hati melihat rakyat Malaysia pelbagai peringkat terbabit dalam proses pengundian dalam jumlah yang besar dengan semangat yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

AS harap kerjasama
Ventrell berkata, Amerika berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan baru selepas ia dibentuk.

PRU-13 menyaksikan BN yang diterajui Najib kembali berkuasa apabila menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan persekutuan.
Dalam kenyataan itu, Ventrell turut menggesa semua pihak supaya menghormati kehendak pengundi.

Najib yang juga pengerusi BN, turut menerima ucapan tahniah daripada rakan sejawatannya beliau David Cameron (United Kingdom), Yingluck Shinawatra (Thailand) dan New Zealand, John Key.

Beliau juga menerima ucapan tahniah daripada Putera Mahkota Abu Dhabi, Jen Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Perdana Menteri Australia, Julia Gillard menghubungi Najib melalui telefon pada jam 1 tengah hari semalam untuk menyampaikan ucapan tahniahnya.

Cameron ucap tahniah
Kenyataan Suruhanjaya Tinggi Britain di sini hari ini, berkata Cameron menghubungi Najib untuk mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau, malam kelmarin.

“Perdana Menteri Cameron menegaskan tentang pentingnya perubahan politik dan ekonomi terus dilakukan sebagai susulan kepada usaha yang dilaksanakan sebelum ini.

“Perdana Menteri Cameron berkata beliau berharap hubungan dua hala antara United Kingdom dan Malaysia akan terus dipertingkat,” kata kenyataan itu. - BERNAMA 
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pemimpinasingucaptahniah/Article/index_html | 8Mei13

Tiada ulasan: