
Sebahagian pemimpin dan ahli UMNO yang
hadir pada Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-67 di Pusat Dagangan Dunia
Putra, Kuala Lumpur, malam tadi. - BERNAMA
*****
Perdana Menteri berkata, UMNO akan mempertahankan dasar yang adil dan saksama serta menolak fahaman politik keterlaluan semata-mata untuk memancing undi.
Sempena hari ulang tahun UMNO hari ini, beliau mengajak seluruh ahli parti untuk bermuhasabah dan membetulkan segala kelemahan serta kekurangan.
"Yang mengundi kita ucapkan terima kasih dan yang tidak mengundi, kita tanya adakah mereka akan menyokong kita pada pilihan raya umum akan datang.
"Jangan kita angkuh dan sombong, kita adalah parti yang berjaya kerana rakyat suka, menyokong dan percaya kepada kita. Tidak kira pemimpin besar dan akar umbi mesti ingat bahawa rakyat yang akan menentukan kekuasaan dan kelangsungan parti kita," katanya.
Beliau berucap pada majlis sambutan ulang tahun UMNO ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.
Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin; Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Terdahulu, Najib menghadiri majlis bacaan surah Yasin dan tahlil sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-67 di Surau Ar-Rahman, PWTC serta menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat hajat secara berjemaah dengan diimamkan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Dalam ucapannya, Najib turut menempelak pihak pembangkang terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengamalkan politik hipokrasi apabila enggan menerima kekalahan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Beliau berkata, sekiranya mereka masih berkeras enggan menerima kekalahan itu, jangan terima kemenangan di kawasan masing-masing dan tiga negeri yang dimenangi oleh pembangkang.
"Ini tidak. Di negeri yang mereka menang mereka telah pun mengangkat sumpah. Kalau tidak iktiraf sistem pilihan raya kita jangan terima kemenangan.
"Berbanding BN, kita telah menyatakan komitmen apa jua keputusan rakyat, kita akan terima dengan hati terbuka. Alhamdulillah, rakyat telah memilih kita," katanya.
Najib berkata, pembangkang sepatutnya membawa apa jua rasa tidak puas hati mereka terhadap sistem pilihan raya negara ini ke mahkamah dan bukannya menyusahkan rakyat kerana kemaruk kuasa.
Kepada Anwar, beliau secara sinis meminta Penasihat Parti Keadilan (PKR) itu meneruskan hasrat sebagai pensyarah di luar negara.
"Mereka (pembangkang) sudah cuba empat kali untuk memenangi pilihan raya iaitu pada 1999, 2004, 2008 dan 2013. Empat kali berturut-turut mereka gagal.
"Sudah empat kali gagal tetapi masih hendak pertahankan jawatannya. Orang lain sekali kalah sudah letak jawatan," tambahnya.
Beliau juga mengecam tindakan dwi standard PKR apabila sering menggembar-gemburkan mahu mempertahankan prinsip demokrasi, sistem yang adil tanpa rasuah serta nepotisme.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, jelas beliau, secara terbuka menuduh wujud amalan nepotisme di dalam parti tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan