28 Jun 2013

Usaha perdamaian nasional



Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA | pengarang@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak ketika menjawab soalan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ ABDUL RAZAK LATIF
*****
KUALA LUMPUR 26 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, penerimaan secara muktamad oleh pembangkang terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu bukan sahaja menjadi asas tetapi merupakan asas utama dalam usaha mencapai matlamat perdamaian nasional.
Perdana Menteri berkata, jika pembangkang berterusan mengadakan perhimpunan jalanan mempertikai keputusan pilihan raya di peringkat Pusat tetapi bersikap dwistandard di negeri dimenangi mereka, matlamat perdamaian nasional tidak akan berlaku.
Menurut beliau, penerimaan pembangkang terhadap keputusan pilihan raya itu membolehkan kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang akan diwakili pemimpin politik Barisan Nasional (BN) serta pembangkang, tokoh-tokoh akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi.
"Saya suka menegaskan premis utama dan asas perdamaian nasional ialah keputusan pilihan raya umum perlu kita terima sebagai keputusan yang muktamad. Kalau berterusan berhimpun di jalanan, matlamat perdamaian nasional tidak akan dicapai.
"Kalau tidak berpuas hati ada saluran tertentu dan selanjutnya keputusan dibuat melalui mahkamah. Kita kena terima kerana ini mengikut Perlembagaan negara," katanya ketika menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 6 Mei lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan melaksana usaha penyatuan nasional untuk mengerat semula hubungan antara rakyat di negara ini yang berpecah sehingga membentuk polarisasi kaum selepas pilihan raya umum lalu.
Mengulas lanjut mengenai MKPN, Najib berkata, tiga agenda utama menjadi objektif penubuhannya iaitu mencari jalan menangani masalah polarisasi kaum, memupuk keharmonian antara agama serta membentuk dasar-dasar kerajaan supaya bersifat inklusif sosial.
Tambahnya, melalui penubuhan MKPN satu pelan pendamai semula akan dirangka bertujuan merapat kembali hubungan antara pihak yang bertanding dalam pilihan raya umum lalu supaya tumpuan utama iaitu membangunkan negara dapat diberi perhatian sepenuhnya.
Sementara itu, menjawab isu serupa yang dibangkitkan Azmin Ali (PKR-Gombak) dalam soalan tambahan, Najib berkata, pembangkang hanya tahu membuat tuduhan melulu kononnya berlaku penyelewengan semasa pilihan raya tanpa sebarang bukti.
"Kita ada proses bagi membuat bantahan, jangan buat tuduhan melulu seperti dakwaan sebanyak 40,000 warga Bangladesh menjadi pengundi kerana setakat ini belum ada bukti yang dibawa untuk perhatian pihak berkenaan berhubung kecurangan seperti yang didakwa.
"Kalau tidak berpuas hati, kita perlu berpandukan kepada Perlembagaan negara dan inilah yang akan dibawa dalam perdamaian nasional," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd | hwa 28JUN

Tiada ulasan: