28 Jun 2013

Kerajaan negeri campuran



Kuala Lumpur: Buat pertama kali dalam sejarah negara, ada kemungkinan Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mempunyai jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sama di sebuah negeri.
Keadaan itu boleh berlaku di Terengganu jika Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Besut yang perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar, dimenangi pembangkang.
Kemenangan pembangkang akan menjadikan BN dan pembangkang masing-masing memiliki 16 ADUN.
Ketika ini BN menguasai 17 kerusi DUN, manakala pembangkang 15.
Malah, kemenangan pembangkang di Kuala Besut juga dijangka menyaksikan pembentukan kerajaan negeri campuran pertama di negara ini.

Budi bicara Sultan
Dalam keadaan itu, Sultan Terengganu dikatakan mempunyai kuasa budi bicara menentukan ADUN yang mendapat sokongan majoriti di DUN untuk dilantik sebagai Menteri Besar.
Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, berkata ia berdasarkan Perlembagaan Negeri Terengganu.
Menteri Besar yang dilantik pula akan menasihati Sultan dari segi barisan EXCO negeri.
Pada amalannya, mengikut konvensyen Perlembagaan dalam keadaan sama rata (bilangan kerusi DUN dikuasai BN dan pembangkang), kemungkinan akan wujud kerajaan campuran, katanya kepada BH, semalam.
PRK DUN Kuala Besut adalah yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu yang menyaksikan BN sekali lagi diberi mandat untuk membentuk kerajaan di Terengganu dengan majoriti mudah apabila memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN, manakala PAS 14 dan PKR satu. 
BH | hwa 28JUN

Tiada ulasan: