BESUT 25 Julai - Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk
Seri Idris Jusoh (gambar) menganggap kejayaan calon Barisan Nasional
(BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman mempertahankan kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini
sebagai bukti BN masih relevan.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah PRK BN berkata, kejayaan itu juga
menandakan BN masih di hati kebanyakan rakyat terutamanya orang Melayu,
apatah lagi dengan majoriti yang bertambah berbanding Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13) yang lalu.
"Malah sokongan kalangan muda juga meningkat kali ini. Ini bukti
beliau ore mudo (orang muda) yang profesional dan anak ustaz yang dapat
diterima oleh semua," ujarnya.
Katanya, rakyat tentunya mengharapkan beliau berperanan dengan lebih
berkesan dengan sokongan Kerajaan Pusat dan negeri untuk membangunkan
kawasan dan terus membuka peluang mereka memajukan kehidupan.
"Walaupun calon Pas (Endot@Azlan Yusof) agak kuat, tapi calon yang
dikatakan orang muda ini (Tengku Zaihan) adalah pilihan pada masa kini
dan ternyata pemilihan yang dibuat oleh pucuk pimpinan adalah tepat,"
ujar beliau.
Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman kemenangan BN di sini
semalam, beliau berkata, BN dapat memenangi hati rakyat dengan
pendekatan kempen yang berhemah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan