KUALA LUMPUR 26 Julai - Dua pemimpin tertinggi sebuah parti politik
dikenal pasti sebagai bertanggungjawab menyebar dan memberi sokongan
politik kepada gerakan Syiah di negara ini terutama di utara tanah air.
Sumber memberitahu, kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu telah
sekian lama terlibat dalam gerakan Syiah dengan berselindung di sebalik
fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengaburi orang ramai dan pihak
berkuasa.
Malah sumber sama menjelaskan, parti yang dianggotai oleh mereka
sebenarnya mengetahui kedua-dua pemimpin tertinggi itu menganuti fahaman
Syiah, tetapi tiada sebarang tindakan diambil disebabkan kepentingan
politik.
"Kedua-dua pemimpin ini mempunyai hubungan rapat dengan tokoh-tokoh
Syiah Iran dan salah seorang daripada mereka juga dikesan pernah
mengunjungi Syria selain aktif memberi sokongan politik kepada gerakan
Syiah di Malaysia.
"Kedua-dua pemimpin tertinggi ini juga dipercayai telah
bertanggungjawab secara langsung menyebabkan fahaman Syiah menular dalam
parti tersebut sehingga mencetuskan kebimbangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
berkata, pihaknya sedia mengambil tindakan undang-undang ke atas
beberapa pemimpin kanan sebuah parti politik kerana bertanggungjawab
menyebarkan fahaman Syiah di negara ini.
Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa mempunyai maklumat lengkap
mengenai penglibatan pemimpin kanan parti tersebut dalam gerakan Syiah
dan mengingatkan mereka supaya tidak berselindung di sebalik fahaman
Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sementara itu, seorang lagi sumber memberitahu Utusan Malaysia,
salah seorang daripada dua pemimpin kanan tersebut pernah dipanggil
mengadap Majlis Syura Ulama bagi tujuan mengia atau menafikan beliau
terlibat dalam gerakan Syiah.
Bagaimanapun, kata beliau, walaupun dikesan mengamalkan beberapa
ajaran Syiah dalam kehidupan seharian, pemimpin tersebut tetap
bertarkiyah (berpura-pura) apabila menafikan penglibatannya dalam
fahaman Syiah kepada Majlis Syura Ulama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan