KUALA BESUT 24 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan
kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kuala Besut merupakan manifestasi sokongan dan kepercayaan
berterusan rakyat terhadap segala usaha yang dirancang dan dilaksana
kerajaan BN.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan itu menjadi lebih
menarik apabila BN menerusi calonnya, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman
menang di semua lapan pusat daerah mengundi, termasuk di Kampung Nangka
dan Bukit Puteri yang dikuasai PAS pada pilihan raya umum yang lepas.
Beliau berkata, walaupun peratusan keluar mengundi adalah rendah
tetapi pendekatan 'man-to-man marking' yang dilaksanakan sepanjang
kempen memberi impak begitu positif dalam jumlah undi yang diraih.
"Walaupun kempen kita lebih tertumpu pada waktu malam melalui majlis
berbuka puasa, tarawih dan moreh tetapi sentuhan berhemah tanpa
menyerang peribadi lawan itu nyata memberi impak kepada pengundi.
"Selain itu, inisiatif yang diambil dalam menyelesaikan hampir semua
masalah penduduk juga memberi kesan yang mendalam kepada keyakinan
pengundi terhadap calon dan kerajaan BN," katanya dalam sidang media
selepas pengumuman keputusan pilihan raya itu di dewan Majlis Daerah
Besut di Jerteh dekat sini hari ini.
Sementara itu, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman berikrar untuk memikul tanggungjawab dan amanah sebaik mungkin.
Katanya, perkara pertama yang akan diberi tumpuan adalah untuk
meneruskan apa yang telah dirancang dan diusahakan oleh Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) terdahulu Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar.
''Saya akan kenal pasti apa yang belum diselesaikan dan tugas yang
ditinggalkan untuk saya teruskan," ujarnya sambil mengucapkan rasa
syukur.
Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan, Wan Azhar Wan Ahmad
berkata, Pas akur dengan kekalahan parti itu dalam pilihan raya tersebut
dan mengakui jentera BN lebih baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan