25 Julai 2013

Projek tiada kaitan pembangkang

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman (kanan) bersalaman dengan penduduk dalam Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Jamhuriah Kuala Besut, semalam. - UTUSAN/SAIFUDIN MOHD. NOR 
*****
BESUT 22 Julai - Segala pengumuman tentang projek pembangunan untuk rakyat di kawasan Kuala Besut merupakan perancangan yang telah dibuat sejak sekian lama dan bukannya atas desakan pembangkang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek seperti benteng pemecah ombak di muara sungai, empangan dan pembinaan sekolah sememangnya sudah diputuskan, cuma menunggu masa untuk pelaksanaannya.
"Segala perancangan kerajaan tak ada kena-mengena dengan pembangkang. Tanpa desakan pembangkang pun, kita masih buat demi kepentingan rakyat," jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Pasar Tani Kuala Besut, di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin.
Ismail Sabri diminta mengulas kononnya segala projek pembangunan di Kuala Besut yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin Pusat yang lain adalah atas desakan pembangkang.
Menurut beliau, dari segi pelaksanaan projek-projek terbabit akan mengambil masa termasuk kelulusan.
Katanya, lakaran projek bukannya boleh siap dalam dua minggu dan kajian perlu disiapkan bertahun-tahun.
"Bukan boleh buat pemecah ombak dalam masa seminggu, pilihan raya diumumkan minggu lepas, sedangkan pelan dan kajian sudah lama seperti berapa panjang pemecah ombak.
"Agaknya pembangkang ingat buat pemecah ombak macam nak buat batas padi di sawah, buat sesuka hati dalam seminggu," katanya.
Selain itu, beliau berkata, peluang Barisan Nasional (BN) untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut adalah cerah kerana pengundi di situ memahami kemenangan pembangkang tidak akan memberi makna.
"Lebih baik beri kemenangan kepada BN dan kestabilan kepada kerajaan negeri. Kita nak kekalkan kerajaan BN di Terengganu supaya projek pembangunan yang diumumkan dapat dilaksanakan," katanya.

Tiada ulasan: