PUTRAJAYA 24 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO perlu
terus diperkukuhkan kerana perjuangan bagi memperkasa parti itu tidak
akan pernah selesai.
Perdana Menteri berkata, masih banyak cabaran yang perlu dilalui UMNO sebagai parti sandaran dan harapan kepada orang Melayu.
"Cabaran besar menanti kita. Perjuangan kita tiada kesudahan. Kita
perlu perkukuhkan Umno sebab UMNO parti sandaran, harapan kepada orang
Melayu.
Kestabilan negara kita bergantung pada kekuatan UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis berbuka puasa
Perdana Menteri dan isteri bersama sahabat, ketua bahagian, Puteri,
Pemuda dan Wanita UMNO di Seri Perdana di sini malam ini.
Beliau juga berharap pemilihan UMNO yang bakal berlangsung kelak akan
berjalan lancar. Pada majlis yang sama Perdana Menteri turut menyambut
ulang tahun ke-60 beliau dengan memotong pulut kuning bersama isteri
Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota keluarga.
Perdana Menteri turut menerima pelbagai jenis kek yang disumbangkan pelbagai pihak.
"Terima kasih kepada semua yang hadir khususnya kepada rangkaian
sahabat zaman saya jadi ketua pemuda UMNO. Kini sama-sama sudah berumur
dan bertemu sekurang-kurangnya setahun sekali sebagai satu perjumpaan
sempena sambutan ulang tahun saya semalam.
"Umur saya tidak dirahsiakan dan sudah diketahui umum. Apa yang lebih
bermakna persahabatan kita tidak pernah luntur dan masih kekal sehingga
hari ini," kata beliau.
Pada majlis itu kira-kira 2,000 tetamu hadir termasuk kumpulan anak yatim yang menerima sumbangan daripada Perdana Menteri.
Beliau kemudian menunaikan solat tarawih bersama para tetamu. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan