12 Ogos 2013

Kritikan Kuan Yew berasas

Azmi Hassan 
*****
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew berhubung ketidakmampuan pakatan pembangkang negara ini mentadbir Malaysia adalah berasas.
GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, perkara itu berdasarkan pendekatan politik pembangkang di negara ini yang dilihat lebih menjurus kepada perjuangan bersifat kepentingan peribadi.
Menurut beliau, keadaan itu sama sekali berbeza dengan pendekatan politik pembangkang di Singapura yang Parti Pekerja (WP) yang mengkritik kerajaan negara tersebut secara positif.
"Kuan Yew menegaskan jika pembangkang Singapura mempunyai sifat seperti pembangkang di sini, maka sukar untuk negara republik itu maju ke hadapan.
"Ini menjelaskan pendekatan politik pembangkang di negara ini yang menyemai sifat kebencian dalam kalangan rakyat memberi kesan kepada proses pembangunan negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Pengerusi DAP, Karpal Singh membidas Kuan Yew berhubung kenyataannya itu dengan memintanya menguruskan isu dalaman parti sendiri sebelum mengulas hal ehwal orang lain.
Kenyataan Karpal itu ekoran pendedahan Kuan Yew menerusi buku bertajuk One Man's View of The World yang dilancarkan minggu lalu yang antara lain berkata, pakatan pembangkang di negara ini tidak akan mampu mentadbir Malaysia.
Dalam pada itu, Azmi berkata, kegagalan parti-parti pembangkang menguruskan masalah dalaman masing-masing merupakan manifestasi kelemahan tadbir urus pakatan tersebut.
"Kuan Yew hanya menyatakan yang tersurat, tetapi mustahil bagi pakatan menerima realiti ini kerana DAP, PKR dan Pas adalah peluang terbaik mereka menumbangkan BN.
"Namun, rakyat perlu menilai apakah mereka mahu sebuah organisasi yang lemah seperti pakatan pembangkang mentadbir negara," ujarnya.
Sementara itu, penganalisis politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berkata, pandangan Kuan Yew itu dibuat menerusi pemerhatian beliau hasil lawatan ke negara ini sebelum pilihan raya umum lalu.
Menurut beliau, pandangan Kuan Yew itu juga melihat kepada bilangan kerusi yang dimenangi pakatan pembangkang selain berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang mengetahui mengenai keutuhan kerjasama yang wujud di bawah BN.
"Bagi saya ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang mempunyai ideologi berbeza, mungkin itu yang dirujuk Kuan Yew," katanya.

Tiada ulasan: