12 Ogos 2013

Mesyuarat UMNO dilanjutkan

Tengku Adnan 
*****
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Tempoh penganjuran mesyuarat UMNO cawangan dan bahagian di seluruh negara dilanjutkan dua minggu manakala hari penamaan calon untuk pemilihan parti dipinda kepada tarikh baharu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pindaan tarikh tersebut dipersetujui Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi (MT) parti.
Menurut beliau, mesyuarat UMNO cawangan dilanjutkan dari 31 Ogos kepada 15 September ini manakala mesyuarat UMNO bahagian dan hari pemilihan MT parti dipinda dari 5 Oktober kepada 19 Oktober ini.
"Pendaftaran penamaan calon untuk pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dilanjutkan dari 7 September kepada 21 September ini dan mesyuarat ketiga-tiga sayap tersebut ditetapkan pada 12 Oktober ini.
"Penamaan calon untuk pemilihan MT UMNO dilanjutkan dari 7 September ke 28 September ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tengku Adnan menjelaskan, pindaan itu dibuat berikutan cadangan dan permintaan daripada UMNO bahagian dan cawangan yang antara alasannya tarikh mesyuarat cawangan sebelum ini berlangsung pada Ramadan dan Aidilfitri selain tempoh asal pada 31 Ogos.
Beliau memberitahu, dalam masa sama, dua pemimpin negara asing iaitu Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dijadual melawat negara ini pada awal Oktober.

Tiada ulasan: