KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pas perlu membasmi
sebarang kegiatan ajaran Syiah dalam parti itu dengan mengemukakan usul
untuk 'membersihkan' fahaman tersebut dalam muktamar parti tahun ini.
Aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin berkata, ancaman daripada kegiatan
Syiah tidak boleh dipandang remeh dan memerlukan tindakan serius
daripada parti itu untuk memecat ahli yang terbabit dalam fahaman itu.
"Ini adalah soal akidah, fahaman Syiah diperangi umat Islam dari
zaman berzaman dan pemimpin Pas tidak boleh melihatnya mengikut
kepentingan politik.
"Saya cabar mana-mana perwakilan Pas terutamanya Pas negeri Kedah
untuk mengemukakan usul pembersihan Syiah dalam muktamar Pas tahun ini
agar kita semua tahu perkara ini dibendung secara serius," katanya
kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Kegiatan penyebaran fahaman Syiah yang diharamkan di negara ini
semakin serius apabila Kementerian Dalam Negeri mengesan terdapat
kira-kira 250,000 pengikut Syiah daripada 10 kumpulan yang bergerak
aktif.
Sementara itu, seorang lagi aktivis Pas yang juga bekas Setiausaha
Pas Selangor, Norman Toha berkata, sejak penglibatannya dalam Pas pada
1993, beliau belum pernah melihat isu Syiah dibangkitkan dan
dibincangkan dalam muktamar Pas.
"Saya berharap ketetapan mengenai Syiah itu dibincangkan dalam
muktamar parti dan diambil perhatian secara serius oleh Majlis Syura
Ulama Pas untuk membuat ketetapan menolak sebarang fahaman Syiah,"
katanya.
Katanya, meskipun masyarakat Islam di Malaysia secara tradisi
berpegang teguh pada Ahli Sunnah Wal Jamaah namun ancaman daripada Syiah
tidak boleh dipandang secara remeh kerana ajaran itu menyerap secara
halus dan boleh membawa polemik perpecahan masyarakat Islam.
"Paling membimbangkan saya sekarang ini ialah adanya orang Melayu
yang berbangga diri, dia adalah Syiah sedangkan mereka sepatutnya sedar
penyelewengan yang dilakukan Syiah adalah amat dahsyat.
"Parti-parti politik perlu membuat ketetapan untuk menolak Syiah
kerana banyak negara Islam telah hancur akibat pertembungan antara Ahli
Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah sebagaimana di Iraq dan Syria," katanya.
Menurut Norman, beliau tidak menolak kemungkinan kecenderungan
segelintir masyarakat negara ini terhadap Syiah adalah berikutan
terpengaruh dengan Revolusi Iran pada 1979 sehingga mendorong banyak ibu
bapa menghantar anak-anak untuk belajar di Iran sehingga terdedah
dengan fahaman Syiah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan