1 Julai 2015

Sejarah Dap Buktikan Orang Melayu Hanya Bertaraf “Melukut”

Oleh Wan Hafiz Hamzah


KUALA LUMPUR, 1 Julai  – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique berkata, usaha Dap merekrut lebih ramai bangsa Melayu untuk menyertai parti tersebut merupakan satu taktik halus bagi mempengaruhi dan mengelirukan bangsa Melayu agar melihat parti tersebut benar-benar terbuka untuk semua kaum dan tidak hanya di dominasikan oleh satu kaum sahaja.


Sedangkan hakikatnya menurut beliau, sepanjang sejarah penubuhan Dap jelas memperlihatkan bahawa parti itu sebenarnya hanya didominasikan oleh satu kaum sahaja.

“Kita boleh lihat berdasarkan daripada 30 ahli jawatankuasa pusat Dap, 22 daripadanya adalah terdiri daripada orang Cina manakala enam orang India dan hanya dua orang Melayu sahaja yang memegang jawatan AJK pusat di dalam parti tersebut.

“Berdasarkan perkara ini jelas bahawa Dap tidak dapat membuktikan bahawa mereka benar-benar parti yang terbuka dan mewakili semua kaum apabila 70 peratus AJK pusat mereka terdiri daripada kaum Cina.

“Bahkan sepanjang sejarah Dap, tidak pernah ada kaum Melayu yang memegang jawatan tertinggi di dalam Dap kecuali Tunku Aziz di mana beliau sendiri pun sudah keluar dari parti tersebut serta mengakui, bahawa Dap tidak lebih hanyalah sebuah parti yang berjuang berdasarkan kepentingan satu kaum sahaja dan tidak mewakili kepentingan pelbagai kaum sepertimana yang selalu mereka uar-uarkan,” ujarnya kepada UMNO Online di sini hari ini.

Tambahnya lagi , usaha Dap untuk menarik minat orang Melayu untuk menyertai parti tersebut agak sukar memandangkan selama ini dasar perjuangan Dap yang lebih banyak menyerang isu-isu sensitif bangsa Melayu seperti hak-hak keistimewaan orang Melayu, institusi Raja-Raja Melayu dan juga agama Islam sebagai agama persekutuan.

“Bagi saya, hanya Melayu yang berfikiran liberal ala barat serta yang sudah hilang jati dirinya sebagai orang Melayu sahaja yang akan menyertai Dap. Orang-orang Melayu yang masih berpegang kuat jati dirinya serta menyedari bahawa asas pembentukkan negara hari ini adalah berdasarkan hak-hak keistimewaan orang Melayu, institusi Raja-Raja dan Islam, maka Dap bukanlah parti yang boleh mereka jadikan landasan perjuangan untuk membela tiga perkara tersebut.

“Apa yang pasti, sepanjang penubuhan parti ini, mereka tidak pernah memperlihatkan parti itu sebagai parti yang membela nasib semua kaum apabila Dap secara konsisten menyerang apa juga perkara yang ada kaitan dengan kepentingan orang Melayu seperti DEB, hak-hak istimewa orang Melayu yang disifatkan mereka sebagai antimeritokrasi.

“Jadi bagaimana kepimpinan Dap hari ini boleh mendakwa parti itu merupakan sebuah parti pelbagai kaum yang memperjuangkan nasib serta mempertahankan hak semua kaum di negara ini? Sedangkan selama ini jelas perjuangan mereka tidak pernah membela dan mempertahankan hak-hak keistimewaan bangsa lain khususnya bangsa Melayu di negara ini,” tegas beliau.

Beliau seterusnya menyeru agar orang Melayu, khususnya dari golongan muda agar tidak terpengaruh dengan dakyah Dap yang hanya mahu mempergunakan orang Melayu demi untuk mencapai agenda politik kepartian mereka semata-mata.

“Benar Dap di atas kertas adalah parti pelbagai kaum, namun hakikatnya ia sekadar di atas kertas pendaftaran pertubuhan dan Dap tidak pernah melaksanakan agenda pembelaan untuk semua kaum. Bangsa-bangsa lain yang menyertai Dap boleh saya sifatkan bak kata pepatah hanya melukut di tepi gantang dan suara mereka langsung tidak didengari oleh kepimpinan tertingg Dap.

“Sikap kepimpinan Dap yang cakap tidak serupa bikin inilah yang menyebabkan ramai kaum India dan bangsa Melayu tidak kekal lama di dalam Dap apabila mereka sedar bahawa slogan parti untuk semua kaum itu hanya pembohongan dan retorik politik mereka semata-mata untuk mencapai agenda politik mereka tersendiri,” akhirinya.

-MediaUMNO

Tiada ulasan: