30 Mei 2013

Wanita UMNO bidas AirAsia

Norhayati Omar 
*****
KUALA LUMPUR 29 Mei 2013 - Beberapa Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri hari ini terus mendesak supaya Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani meminta maaf secara terbuka terhadap kenyataan beliau terhadap akhbar Utusan Malaysia yang dikatakan rasis.
Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Norhayati Omar mahu Pengerusi Lembaga Pengarah AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz bertanggungjawab memastikan syarikat itu bertindak selari dengan kerajaan dan sentiasa mendahulukan kepentingan negara.
"Kegagalan beliau (Rafidah) memastikan Azran membuat permohonan maaf secara terbuka membuktikan kegagalannya dalam menjalankan amanah sebagai pengerusi," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.
Azran menerusi akaun Facebook dan Twitternya baru-baru ini bertindak mencerca Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar rasis hanya kerana menyiarkan artikel berbentuk pertanya bertajuk Apa Lagi Cina Mahu? pada 7 Mei lalu.
Menerusi akaun Facebook beliau, Azran menulis: "I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan's editorial stance. (Saya rakyat Malaysia. Saya antiperkauman. Saya meluat dengan pendirian Jabatan Pengarang Utusan)."
Dalam akaun Twitter pula, beliau juga menyatakan pihaknya akan menarik balik iklan AirAsia di Utusan.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mendesak Azran segera memohon maaf secara terbuka.
Ujarnya, pelantikan Rafidah juga perlu dipertimbangkan semula, ini ekoran kegagalan beliau memastikan isu yang timbul diselesaikan.
"Presiden UMNO perlu melihat semula tindak-tanduk ahli-ahli Majlis Tertingginya yang merupakan barisan hadapan parti dan sepatutnya selaras dengan perjuangan parti demi memperjuangkan bangsa Melayu di bumi Malaysia ini," jelas beliau.
Bagi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang, Zabariah Wahab, beliau kesal dengan kenyataan Azran tentang Utusan Malaysia yang dikatakan rasis.
"Azran seharusnya mengkaji dan membuat perbandingan dengan akhbar-akhbar berbahasa lain yang sememangnya lebih rasis," katanya.
Jelasnya, Rafidah sebagai bekas menteri dan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO harus lebih peka dalam memastikan individu yang cuba menghalang keharmonian berbilang bangsa di negara ini diambil tindakan.
"Wanita Pulau Pinang menggesa agar Azran memohon maaf secara terbuka ke atas kenyataan yang telah dikeluarkan dan pihak AirAsia harus mengambil tindakan tegas terhadap beliau yang cuba menangguk di air yang keruh," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Negeri Kelantan, Datin Rahimah Mohamed pula, mendesak Tan Sri Tony Fernandes selaku pengasas dan pemegang saham terbesar AirAsia untuk menyatakan pendirian beliau terhadap kenyataan Azran.
Katanya, Fernandes perlu bertanggungjawab ke atas kenyataan yang dikeluarkan memandangkan jumlah pengguna Melayu yang tinggi di syarikat penerbangan itu.
"Fernandes perlu mengambil kira perasaan dan sensitiviti orang Melayu manakala Rafidah harus bertindak sesuai dengan tuntutan dan desakan daripada pelbagai pihak berhubung isu ini," katanya.

Indonesia haram khutbah, ceramah guna pembesar suara

Indonesia haram khutbah, ceramah guna pembesar suara  
Kebanyakan daripada lebih 800,000 masjid di Indonesia menggunakan pembesar suara ketika memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dan nasyid siang dan malam.
***** 
Larangan elak ganggu kawasan kejiranan di sekitar masjid
Jakarta: Majlis Masjid Indonesia (DMI), semalam mengumumkan ia akan mengharamkan penggunaan pembesar suara untuk khutbah dan ceramah di masjid di negara itu.

“Kami sedang membincangkan perincian teknikal mengenai perkara itu,” kata ketua DMI, Jusuf Kalla yang dipetik akhbar Kompas.com.
Jusuf yang juga bekas naib presiden Indonesia berkata, masjid, bagaimanapun masih dibenarkan menggunakan pembesar suara untuk laungan azan, tetapi bukan untuk urusan lain.

“Jika pembesar suara digunakan untuk melaungkan azan, ia tidak menjadi masalah kerana kaedah itu memang digunakan di masjid di seluruh dunia, manakala tempoh laungan azan hanya kira-kira tiga minit,” katanya.

Kebanyakan daripada lebih 800,000 masjid di Indonesia menggunakan pembesar suara ketika memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dan nasyid siang dan malam.

Timbalan Pengerusi DMI, Masdur Farid Masudi berkata, penggunaan pembesar suara ketika khutbah Jumaat dibenarkan di dalam lingkungan kawasan masjid, tetapi penggunaan peralatan itu menghadap bahagian luar mungkin mengganggu penduduk berhampiran.

“Jemaah yang datang ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat sudah pasti perlu mendengar khutbah, tetapi kita tidak pasti sama orang di bahagian luar masjid yang tidak dikenali patut mendengarnya atau tidak. Mereka yang berada ‘di luar’ mungkin tidak bersetuju dengan ceramah yang disampaikan,” katanya.
Masdur berkata, selain kemungkinan menganggu kawasan kejiranan di sekitar masjid, khutbah yang diperdengarkan menggunakan pembesar suara boleh mendedahkan ‘rahsia Islam’.

“Jika rahsia itu diperdengarkan hingga ke bahagian luar, segala perkara mengenai kita akan terdedah, Mereka akan tahu semua baik buruk kita,” katanya.

Pada Februari lalu, seorang lelaki berusia 75 tahun di Banda Aceh, Sayed Hassan, menang dalam samannya ke atas sebuah masjid dekat kediamannya.

Di dalam samannya itu, Sayed berkata, suara kuat daripada enam pembesar suara di masjid itu memberi kesan buruk kepada kehidupannya.

Beliau dipaka menarik balik tindakan undang-undang yang dilakukannya selepas menerima ancaman bunuh, tetapi sejak itu bunyi pembesar suara itu diperlahankan. - AGENSI | HWA30Mei

Lagi desakan bertindak terhadap Red Bean Army

KUALA LUMPUR 28 Mei - Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu segera bertindak menghalang pasukan tentera siber DAP, Red Bean Army daripada terus menyebar fitnah.
Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, ini bukan lagi masa untuk bertoleransi dengan sebuah kumpulan yang sering menabur fitnah memburukkan kerajaan menerusi laman maya.
Katanya, perbuatan kumpulan berkenaan menabur fitnah boleh dianggap sebagai satu bentuk jenayah siber yang bertujuan 'menghasut' serta mewujudkan gelombang kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan.
"Kita tengok kerajaan China, mereka lebih agresif membendung perkara seperti ini apabila terus 'mengharamkan' penggunaan laman sosial seperti Facebook dan blog kerana didapati boleh membawa impak negatif kepada pemikiran rakyat serta keharmonian negara.
"Di negara kita yang mengamalkan dasar keterbukaan tidak 'sekejam' itu. Negara kita amalkan demokrasi, sesiapa sahaja bebas bersuara tetapi mestilah dengan bukti serta fakta, bukannya semata-mata fitnah seperti dilakukan oleh Red Bean Army," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa kecaman serta penghinaan berterusan yang dihamburkan oleh Red Bean Army terhadap kerajaan jelas membuktikan tentera siber DAP itu gagal menutup rasa kecewa kerana tidak berjaya memperoleh 'kuasa' di Putrajaya.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail pula memberitahu, kerajaan mesti tegas dengan kumpulan berkenaan memandangkan mereka cuba mempromosikan trend amalan media sosial yang negatif.
Katanya, kumpulan seumpama itu sekiranya dibiarkan lebih lama dikhuatiri akan mengancam kestabilan dan keharmonian negara, selain boleh menyebabkan berlakunya huru-hara.
"Sebenarnya saya agak kecewa kerana belum ada lagi tindakan tegas yang diambil terhadap kumpulan penyebar fitnah ini. Tiada tindak balas segera daripada SKMM dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kumpulan ini menyebabkan mereka semakin galak menabur fitnah.
"Kita ada peruntukan undang-undang dan akta yang sesuai untuk membendung perbuatan fitnah menerusi alam siber ini daripada terus berleluasa. Kita kena menggunakannya, kerajaan perlu tegas," jelasnya.

Pas Kelantan tolak Arab Spring

KOTA BHARU 28 Mei - Pas Kelantan senada dengan beberapa pemimpin utama parti itu menolak sebarang usaha yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengambil alih kerajaan dengan cara kekerasan dan melalui demonstrasi jalanan.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya menyedari bahawa menurunkan kerajaan dengan menggunakan kaedah 'Arab Spring' tidak memberikan sebarang faedah malah ia akan menghancurkan negara ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, pendirian tersebut adalah selari dengan pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah menjelaskan perkara tersebut lebih awal lagi.
"Kita tidak bersetuju dengan cara 'Arab Spring' turun ke jalan raya dan menggunakan kekerasan kerana ia tidak sesuai dengan negara ini malah ia akan memberikan banyak keburukan kepada negara.
"Kita boleh tunggu tiga tahun lagi kerana kita menjangkakan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh tiga tahun lagi, tidak ada masalah, kita menyokong penuh demokrasi dan pertukaran kerajaan perlu dilakukan melalui proses demokrasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siri perhimpunan haram yang diadakan oleh pakatan pembangkang dan diketuai oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 berakhir kira-kira tiga minggu lalu.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din turut menolak perhimpunan haram yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang sekiranya didapati boleh membawa masalah, kemusnahan serta mencetuskan huru-hara kepada negara.
Mohd. Amar bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) berhubung PRU-13 lalu.
"Masalah penyelewengan dan salah laku, kita memang bersama tidak bersetuju dan menentang kelemahan SPR, ini adalah pendirian kita bersama (dalam pakatan pembangkang).
"Di sini ada dua isu, isu apakah kita patut turun ke jalan raya adalah isu yang berbeza. Pendirian Pas Pusat pun tidak bersetuju kalau menjatuhkan kerajaan kekerasan dan melanggar undang-undang, pendirian DAP pun sama dalam isu ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan kepada pasukan peguam untuk memfailkan petisyen pilihan raya sekurang-kurangnya di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Air Lanas, Kok Lanas, Selising dan Dabong.
"Secara umumnya kita akan melihat kepada kawasan yang kalah dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi dan mempunyai bukti-bukti yang kukuh seperti membeli undi bagi membuat petisyen pilihan raya.
"Minggu depan akan ada mesyuarat politik Pas Kelantan, kita akan lihat bagaimana keadaannya selepas mendapat nasihat daripada peguam dan dirujuk kepada Pas Pusat," katanya.

'Kami sanggup mati demi Malaysia'

Sekumpulan 50 aktivis prokerajaan mengadakan demonstrasi secara aman mendesak KDN bertegas terhadap individu cuba menggugat keamanan negara di Ayer Keroh, Melaka, semalam.
*****
MELAKA 28 Mei - Kira-kira 50 aktivis prokerajaan yang mewakili Anak Malaysia Negeri Melaka mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak tegas terhadap mereka yang cuba menggugat keamanan negara.
Sambil menyifatkan perhimpunan haram sebagai usaha pihak pembangkang cuba mencetuskan huru-hara ekoran rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), mereka berharap kementerian tidak gentar dengan ancaman dan ugutan daripada penganjur perhimpunan tersebut.
“Kami menentang sekeras-kerasnya usaha pembangkang cuba menghuru-harakan negara dengan menganjurkan perhimpunan blackout 505.
“Kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kumpulan blackout 505 jangan cuba bersikap kurang ajar kepada rakyat Malaysia yang telah memilih Barisan Nasional (BN) dan cuba memperbodohkan rakyat demi politik murahan kamu," kata wakilnya, Muhammad Hedir Saniman di sini hari ini.
Anak Malaysia Negeri Melaka berhimpun secara aman lebih kurang setengah jam di hadapan Pasaraya MyDin, Ayer Keroh di sini bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Anwar dan kumpulan blackout 505
Kehadiran aktivis tersebut turut mencuri tumpuan pengunjung di Pasar raya MyDin dan Kota Fesyen sambil turut mengangkat tangan menyokong demonstrasi tersebut.
Muhammad Hedir menegaskan, aktivis Anak Malaysia Melaka memberi amaran kepada pihak tertentu agar jangan cuba menggugat kedamaian yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini.
“Kami sanggup mati demi Malaysia dan hari ini kami berhimpun dengan sepanduk yang menyuarakan rasa isi hati kami," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan BN untuk mengenang jasa serta budi orang Melayu, India, Sarawak dan Sabah yang memastikan BN terus kekal memerintah negara selepas PRU-13 lalu.
“Kami minta kerajaan BN beri tumpuan dan komitmen untuk membangunkan ekonomi orang Melayu, India, Sabah dan Sarawak kerana kami mundur dalam bidang tersebut," katanya.

Daim: Anwar tetap mahu jadi PM hingga saat kematian

Daim Zainuddin 
*****
KUALA LUMPUR 27 Mei - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyelar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang tetap mahu menjadi Perdana Menteri sehingga ke saat kematiannya.
Selain Anwar, katanya, para pemimpin pembangkang seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak mempunyai nilai moral tinggi untuk bersara setelah kalah dan ini berbeza dengan pemimpin politik Barat yang menerima kekalahan secara terbuka dan meletak jawatan seperti bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.
"Biar saya ingatkan anda, Anwar telah mengatakan dia akan bersara jika gagal menawan Putrajaya (memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Anwar tidak mengotakan janji.
"Dia (Anwar) tidak akan bersara sehinggalah pada saat kematiannya. Dia tetap mahu jadi perdana menteri," katanya dalam satu wawancara dengan akhbar China Press yang dipetik daripada blog http://kadirjasin.blogspot.com/ hari ini.
Daim turut mengkritik tindakan pembangkang khususnya DAP dan PKR yang sehingga kini tidak dapat menerima kekalahan dan menganjurkan siri perhimpunan haram di seluruh negara bagi membantah keputusan PRU-13 yang tidak memihak kepada mereka.
Katanya, tindakan itu sengaja dilakukan pembangkang khususnya Anwar dan Kit Siang secara tidak bertanggungjawab agar mereka ditahan polis kerana perhimpunan sebegitu dikhuatiri menimbulkan insiden tidak diingini antara kaum, khususnya Melayu dan Cina.
"Bagaimanapun Anwar dan Kit Siang tidak peduli (kerana) jika terjadi lagi insiden antara kaum, mereka akan menyalahkan Barisan Nasional (BN). Jika anda sanggup mengorbankan keamanan dan kestabilan untuk keuntungan anda, kepimpinan jenis apakah ini?" soalnya.
Beliau menambah, para pengundi Cina yang hampir keseluruhan memilih pakatan pembangkang dalam PRU-13 sebenarnya telah termakan dakyah serta perkauman DAP kononnya masyarakat tersebut adalah mangsa yang dipinggirkan di negara ini.
Katanya, DAP juga menyebarkan sentimen bahawa PRU-13 lalu merupakan peluang bagi masyarakat Cina untuk 'mengajar' MCA dan Gerakan yang selama ini berada di bawah telunjuk UMNO dengan memberikan mesej bahawa mereka tidak mahu lagi dibuli UMNO dan Melayu.
"Cybertrooper mereka (pembangkang) bekerja 24 jam sehari dengan menghantar maklumat salah, putar belit, khabar angin dan sebagainya. Di mana (orang) Bangladesh? Di manakah kejadian terputus bekalan elektrik? Berapa ramai yang hilang dakwat di jari mereka mengundi sebanyak dua kali?
"Tun Dr. Mahathir Mohamad melarikan diri dengan menaiki jet peribadi? Penipuan demi penipuan sehingga masyarakat Cina percaya kepada (slogan) 'Ubah' dan 'Ini kalilah'," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130528/po_01/Daim-Anwar-tetap-mahu-jadi-PM-hingga-saat-kematian#ixzz2UjneH2Ij
© Utusan Melayu (M) Bhd | HWA30Mei

Pas perlu berhenti diperbodohkan Anwar

KUALA LUMPUR 29 Mei - Parti pembangkang khususnya Pas perlu berhenti daripada bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kempen Anwar Spring yang digerakkan Ketua Pembangkang itu sejak pilihan raya umum lalu bermotifkan peribadi.
Bekas peguam bela Anwar, Datuk Zulkifli Noordin berkata, Pas akan dihukum dengan lebih teruk oleh majoriti rakyat jika berterusan membiarkan diri dijadikan alat tunggangan Ketua Pembangkang kerana masyarakat mahukan keamanan bukan demonstrasi Anwar Spring.
Beliau yang bersetuju dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melabelkan perhimpunan haram anjuran pembangkang sebagai Anwar Spring dan bukannya Malaysia Spring menambah, Pas perlu berhenti daripada terus diperbodohkan.
"Pendedahan bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla adalah pengajaran terbaik dalam isu Anwar Spring ini. Anwar memungkiri perjanjian damai melibatkan Perdana Menteri apabila enggan menerima keputusan pilihan raya sebaliknya memilih demonstrasi ke jalanan.
"Dalam konteks ini bukan hanya rakyat perlu membuka mata tetapi paling penting Pas. Sampai bila Pas hendak menjadi kuda tunggangan Anwar demi cita-cita peribadi, bukan kerana memperjuangkan nasib rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid berkata, kempen Anwar Spring melalui penganjuran siri perhimpunan haram sengaja dicetuskan Ketua Pembangkang itu sebagai provokasi terhadap pasukan keselamatan selain bertujuan menarik perhatian media asing bagi memburukkan Malaysia.
Mengulas isu yang sama, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, dakwaan pakatan kononnya perhimpunan haram anjuran mereka adalah Malaysia Spring merupakan taktik lapuk untuk mengaburi mata rakyat mengenai perjuangan peribadi Ketua Pembangkang itu.
Katanya, Anwar cuba berselindung di sebalik nama Malaysia Spring agar motif politiknya tidak kelihatan peribadi di mata penyokong, sekali gus mampu mengheret rakyat untuk turut serta menyokong gerakan tersebut meskipun keselamatan negara menjadi taruhan.
"Sebab itu saya menyokong kenyataan Ahmad Zahid. Anwar Spring adalah agenda peribadi Anwar yang mahu menjatuhkan kerajaan secara tidak beretika bagi menjayakan nafsunya untuk menjadi Perdana Menteri dengan memperalatkan rakyat. Ini memang taktik Anwar.
"Jadi pesan saya kepada rakyat, jangan tertipu dengan Anwar yang mahu menghuru-harakan negara sekali gus menjemput kuasa asing untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia kerana selaku individu antara paling rapat saya cukup kenal siapa Anwar," katanya.

Penafian Red Bean Army, Kit Siang cetus curiga

KUALA LUMPUR 29 Mei - Penafian Penasihat DAP, Lim Kit Siang kononnya tidak mengetahui kewujudan tentera siber parti itu yang dikenali sebagai Red Bean Army mengundang kecurigaan walaupun telah mendapat liputan meluas media.
Ironinya, kewujudan tentera siber Red Bean Army yang didakwa 'ditaja' DAP sebenarnya telah didedahkan sendiri oleh bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP, Shen Yee Aun dalam wawancaranya dengan portal berita Mynewshub yang dimuat naik ke laman YouTube bulan lepas.
Namun, Kit Siang pula menyerang Barisan Nasional (BN) mendakwa sengaja menuduh menganjurkan konvensyen media sosial di seluruh negara bagi membentuk 10,000 tentera siber pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan berkata, seperti kebiasaannya, DAP mengambil jalan 'selamat' menuding jari kepada UMNO dan BN kononnya itu propaganda untuk menjatuhkan parti tersebut.
"Kit Siang memang handal 'berlakon', kenyataan beliau kononnya ini kali pertama beliau mendengar nama Red Bean Army, itu pun daripada laporan Utusan Malaysia adalah sungguh mencurigakan dan lucu kerana isu ini sudah lama dimainkan media sebelum PRU-13 lagi.
"Pemimpin DAP akan sedaya upaya menutup isu tersebut menuduh sebagai konspirasi UMNO, itu sahaja modal mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penduduk selar Ahli Parlimen Pas

Penduduk mengadakan demonstrasi secara aman menyelar sikap pilih kasih Nasruddin Hassan berhubung bantuan mangsa ribut di Temerloh, semalam.
*****
TEMERLOH 28 Mei - Seramai 30 penduduk rumah pangsa Taman Sri Kemuning di sini hari ini, mengadakan demonstrasi secara aman menyelar tindakan Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan yang mengamalkan sikap pilih kasih dalam pengagihan bantuan bencana alam untuk mangsa ribut pada 15 Mei lalu.
Beberapa penduduk mendakwa, Nasruddin melalui wakilnya hanya memberikan bantuan kepada ahli Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan penduduk yang tidak menyokong parti tersebut diketepikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Megat Segama, Mohd. Nordin Mohd. Sham memberitahu, tindakan mengagihkan bantuan kepada penyokong sendiri sahaja menunjukkan mereka tidak berpegang pada slogan Negara Berkebajikan yang dilaungkan.
“Sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen Temerloh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed juga daripada Pas sepatutnya mengetepikan soal parti dalam memberi bantuan kepada semua mangsa tanpa mengira fahaman politik mereka.
“Ahli Parlimen sebelum ini, Datuk Saifuddin Abdullah dan penyelaras Barisan Nasional (BN) Kuala Semantan mengagihkan semua bantuan kepada penduduk yang ditimpa bencana alam seperti banjir, ribut, pesakit kronik dan sebagainya tanpa mengira ahli parti mana," katanya kepada pemberita selepas demonstrasi tersebut.
Seorang lagi mangsa, T. Sangamalam, 73, berkata, sebelum ini, ada pihak datang membuat bancian penduduk yang mengalami kerosakan rumah ekoran kejadian ribut itu dan meminta beliau hadir pada majlis menerima bantuan daripada ahli Parlimen.
“Apabila saya hadir pada majlis itu 22 Mei lalu, mereka memberitahu nama saya sudah dipotong daripada senarai penerima bantuan.
“Saya berasa cukup kecewa kerana bantuan itu diharap dapat digunakan untuk membaiki beberapa bahagian rumah yang rosak akibat bencana tersebut," katanya.
Bagi Roslaini Mohd. Amin, 54, Nasruddin sepatutnya tidak lagi berpegang pada kedudukan parti dalam mengagihkan bantuan kerana beliau kini wakil rakyat untuk seluruh penduduk di Parlimen Temerloh sama ada yang menyokong beliau atau pun BN.
“Beliau sepatutnya tidak boleh mengambil sikap sedemikian, sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, menjadi tugas beliau membantu semua penduduk yang dilanda bencana alam," katanya.

Red Bean Army serang kerajaan

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kecaman serta penghinaan berterusan yang dihamburkan oleh Red Bean Army terhadap kerajaan jelas membuktikan tentera siber DAP itu gagal menutup rasa kecewa kerana tidak berjaya memperoleh 'kuasa' di Putrajaya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun beliau sendiri tidak terlepas daripada serangan tentera siber berkenaan, perkara itu adalah lumrah bagi mereka yang bergelar ahli politik.
Meskipun tidak menyatakan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap pihak terbabit, beliau dengan nada sinis memberitahu, mereka merupakan jenis manusia yang hanya tahu menyalahkan pihak lain berbanding diri sendiri.
"Cacian memang makanan buat orang politik. Saya telah maafkan mereka yang mencaci dan akan terus memaki hamun saya. Kebanyakan mereka ini masih berdarah muda.
"Mereka sedang menanam kebencian sebab gagal menawan Putrajaya. Biarlah mereka melayani kekecewaan itu dengan melepaskan perasaan kecewa secara menyalahkan semua orang lain, kecuali diri sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan seorang pembaca Utusan Malaysia berketurunan Cina bernama Kevin J. C. Chuah tentang sikap Red Bean Army yang terus mengecam dan membuat penghinaan khususnya menerusi laman sosial Facebook propembangkang.
Menurut pembaca tersebut, tulisan dan ayat-ayat yang diguna oleh mereka memang menjijikkan dan serangan peribadi bertubi-tubi dilancarkan terhadap Ahmad Zahid, sekali gus membuktikan sifat sebenar kumpulan Red Bean Army yang suka mencaci, menyuntik rasa kebencian dengan sewenang-wenangnya.
Akaun Facebook propembangkang itu juga dengan lantang mengutuk Ahmad Zahid dan meminta beliau meletak jawatan di samping menggunakan tulisan biadab berbunyi: "Negara ini bukan milik bapak kau!!!".
Mengulas lanjut 'tangan-tangan' jahat Red Bean Army itu, beliau berkata: "Saya harap suatu hari nanti mereka akan tahu kebaikan yang akan saya terapkan demi kepentingan keselamatan negara".
Sebelum ini, Ahmad Zahid menegaskan akan membanteras penyebaran maklumat dalam media sosial yang menyentuh isu perkauman, mencabar Perlembagaan serta fitnah, khususnya yang didalangi Red Bean Army.

Pelantikan Saifuddin jadi isu

KUALA LUMPUR 29 Mei - Khabar angin mengatakan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution akan dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar Selangor mencetuskan 'rasa kurang senang' Pas apabila turut menuntut penglibatan dalam memantau urusan harian negeri itu.
Perkara itu disuarakan Yang Dipertua Pas Kawasan Pandan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Iskandar Abdul Samad yang mahu seorang Naib Presiden Pas ditugaskan untuk urusan pemantauan berkenaan.
Menurut beliau, hal ini kerana ahli-ahli Pas telah bekerja keras untuk mengukuh dan mengembangkan pengaruh parti itu di Selangor dan sudah tentu mereka mengharapkan lebih perhatian daripada pimpinan tertinggi parti.
Oleh yang demikian, beliau juga mahu ahli dan pimpinan Pas di seluruh negara menganggap Selangor sebagai sebuah 'negeri Pas' seperti tanggapan di Kelantan, Kedah dan Terengganu.
''Pada pilihan raya umum lalu, Pas di Selangor telah memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sama banyak jumlah kerusi Pas di Terengganu dan melebihi kerusi Pas di Kedah.
''Selangor adalah unik kerana selain menjadi 'negeri Pas', ia juga 'negeri DAP' dan 'negeri PKR'. Tidak ada parti yang boleh mengakui negeri ini 'negeri mereka' kerana jumlah kerusi DUN setiap parti adalah hampir sama,'' katanya dalam kenyataan seperti dipetik menerusi laporan lidah rasmi Pas, Harakahdaily.net, semalam.
Berdasarkan laporan laman web media kerajaan negeri, www.selangorku.com, Saifuddin yang tewas kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu di tangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada pilihan raya umum lalu, akan dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar.
Menurut laporan itu, perkara tersebut diumumkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penggulungan kongres parti kesembilan pada 25 Mei lalu di Petaling Jaya.
Pas Selangor sebelum ini membidas beberapa pemimpin PKR negeri itu dengan menegaskan tiada sebarang perjanjian yang mengatakan jawatan Menteri Besar Selangor mesti diperuntukkan kepada PKR.
Pada pilihan raya umum lalu, pakatan pembangkang memenangi 44 daripada 56 kerusi DUN di Selangor dengan Pas dan DAP masing-masing 15 kerusi manakala PKR 14 kerusi. BN pula menguasai 12 kerusi DUN.
Iskandar memberitahu, oleh yang demikian, pimpinan Pas terutamanya pimpinan tertinggi parti mesti memberi tumpuan sama kepada Selangor seperti tumpuan yang diberikan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
''Isu-isu di Selangor mesti turut dibincangkan dan dibahas secara panjang lebar pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan muktamar seperti dilakukan PKR serta DAP,'' katanya.
Sementara itu, menurut sumber dalaman, kerajaan negeri mengesahkan tentang pelantikan Saifuddin dan telah dipersetujui oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut sumber tersebut, Saifuddin dijangka diberikan tugas membantu Menteri Besar menguruskan hal ehwal politik pakatan pembangkang di negeri itu, selain turut berperanan mengukuhkan hubungan antara pemimpin PKR di peringkat Pusat dan negeri.
''Hal ini kerana, hubungan antara kepemimpinan PKR di peringkat negeri dengan Pusat dilihat tidak 'rapat' sehingga wujudnya pergeseran dalam kalangan pemimpin parti itu seperti dilaporkan sebelum ini,'' katanya.
Menurut sumber itu, jawatan yang akan dipegang Saifuddin bagaimanapun tidak akan melibatkan hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri kerana beliau hanya bertanggungjawab dalam hal berkaitan politik.

Siri 3: Ayuh berjihadlah orang Melayu, kuasai ekonomi!

(Mengenali Dr. Rais Saniman)
SAYA secara peribadi tidak mengenali Dr. Rais Saniman. Beliau dikenali sebagai seorang tokoh tersohor dalam bidang ekonomi pembangunan.
Malam kelmarin saya sempat bersama beliau. Sempat berjabat tangan dengan beliau dan bersembang pendek di satu majlis ilmu di ibu negara.
Dalam usia pertengahan 70-an fikiran beliau masih tajam, kritikal dan rasional. Jiwanya cukup kental.
Dr. Rais bukan calang-calang orang. Beliau adalah salah seorang anak Melayu yang bertanggungjawab mengadun dan membentuk satu polisi -- yang gagal difahami dan dijelaskan sehingga kini -- dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB atau NEP dalam bahasa Inggeris).
Ia adalah satu dasar yang disifatkan oleh bangsa Cina Malaysia sebagai telah atau sampai bila-bila akan mendiskriminasikan orang bukan Melayu, terutamanya mereka, di negara ini.
Orang Cina terutamanya, menganggap bahawa polisi itu, yang dilaksanakan pada 1970 akibat peristiwa 13 Mei 1969, telah meletakkan mereka sebagai warganegara kelas kedua atau lebih teruk kelas ketiga.
Tapi benarkah? Benarkah orang Cina selama ini didiskriminasikan oleh kerajaan Melayu Malaysia melalui dasar itu?
Benarkah orang Cina seperti nasib orang kulit putih di Zimbabwe yang ditindas oleh Mugabe atau orang kulit hitam di Afrika Selatan dipinggirkan dalam kemunduran dan kehampaan semasa zaman Apartied dahulu?
Apakah orang Cina Malaysia kebuluran akibat DEB? Adakah mereka ketinggalan dalam bidang pendidikan akibat dasar itu? Apakah mereka dinafikan hak untuk mendirikan sekolah ibunda sendiri? Apakah semua perniagaan dikuasai oleh orang Melayu akibat dasar itu?
Adakah mereka dinafikan bertutur bahasa ibunda mereka sebagaimana di Indonesia atau Thailand atau juga di Amerika Syarikat? Atau nama mereka dipaksa tukar mengikut nama Melayu seperti di Indonesia atau Thailand?
Apakah gedung-gedung perniagaan di ibu negara yang hebat Kuala Lumpur dimiliki oleh Ali, Abu dan Awang? Adakah Ali, Abu dan Awang memiliki Pavilion, Sunway Pyramid atau di One Utama? Atau mereka dinafikan hak membeli kereta-kereta mewah?
Atau mereka dinafikan tinggal di kawasan-kawasan mewah di Mont Kiara atau Bukit Damansara?
Atau apa? Adakah orang Melayu menguasai senarai 10 teratas bilionair negara ini yang memiliki IPP pengeluar tenaga elektrik, memiliki kilang-kilang gula atau gedung-gedung perjudian terbesar?
Menurut buku tulisan tiga ekonomis yang sama-sama merangka DEB itu: Just Faaland, Jack Parkinson dan anak Melayu, Dr. Rais Saniman bertajuk: Growth and Ethnic Inequality (Pertumbuhan dan Ketidaksamaan Etnik): Realitinya, ialah:
“Sebagaimana bukti-bukti (evidence) menunjukkan, ia sebenarnya adalah terbalik."
“Di bawah regim DEB, populasi bukan pribumi (non-indigenous) bergerak ke hadapan secara ekonomi lebih jauh berbanding apa yang berlaku ke atas Bumiputera."
“Melalui Tawaran Sosial 1957 (Social Bargain of 1957), taraf kewarganegaraan dianugerahkan semalaman hanya menerusi secalitan mata pena (by a stroke of a pen) kepada sejuta orang bukan-warganegara," menurut buku itu yang diterbit di UK oleh C. Hurst & Co (Publishers) Ltd 1990 dan terbitan kedua oleh Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. 2003.
Buku ini wajib dibaca sekiranya orang Melayu mahu melihat realiti sebenar kedudukan mereka hasil dasar itu. Buku ini wajib dibeli mulai sekarang.
Buku itu juga wajib dimentelaah dan difahami sekiranya orang Melayu percayakan kepada Jihad Ekonomi yang perlu dibangkitkan ekoran Tsunami Cina pada PRU-13 baru-baru ini.
Sebagaimana yang saya jelaskan dalam Cuit bertajuk: Ayuh berjihadlah orang Melayu, kuasai ekonomi! dan disusuli oleh siri kedua minggu lepas, telah tiba masanya orang Melayu menguasai ekonomi setelah ketinggalan begitu jauh dengan bangsa-bangsa lain kita, khususnya Cina.
Orang Cina, sebagaimana yang saya jelaskan amat arif bahawa setelah mereka menguasai sepenuhnya ekonomi, kini masanya telah tiba untuk mereka menguasai satu peringkat lagi iaitu kuasa politik.
Ironi sungguh kerana dalam masa mereka menyalahkan DEB, merekalah yang mendapat laba yang cukup hebat daripada dasar itu.
Laba yang kita dapat pula ialah pelajar-pelajar miskin kita mendapat sedikit hak keistimewaan dihantar belajar ke luar negara melalui biasiswa kerajaan dan Mara. Di zaman dahulu, kumpulan ini yang pulang ke tanah air akhirnya akan bertugas dalam sektor kerajaan.
Laba yang kita dapat ialah wujudnya UiTM yang kini menjadi kilang melahirkan beribu-ribu pelajar -- yang malangnya pasaran kerja di luar sana dikuasai (sebahagian besarnya) oleh orang Cina.
Satu kajian impirikal (berbentuk saintifik) yang dilakukan ke atas nasib anak Melayu yang bijak hasil DEB itu, mendapati mereka gagal mendapat gaji yang sama dengan seorang lagi calon bukan Melayu di sebuah firma milik kaum bukan Melayu itu, walaupun budak itu kurang bijak daripada anak Melayu itu.
Satu simulasi telah dilakukan oleh sekumpulan penyelidik profesional Melayu dengan menghantar resume budak-budak Melayu bijak dengan budak-budak bukan Melayu yang setaraf, tetapi hasilnya mendukacitakan budak Melayu.
Tidak puas hati dengan keputusan itu, yang mungkin penyelidik merasakan wujud sedikit kekhilafan, maka simulasi kedua dilakukan dan hasilkan; tetap sama.
Budak-budak Melayu yang bijak ini dinafikan hak mereka untuk mendapatkan gaji yang sama -- 30 peratus lebih rendah daripada calon Cina itu.
Mengapa? Jawapannya adalah mudah, ia adalah kerana toko-toko, gedung-gedung dan firma-firma baik kecil atau besar bukan dikuasai oleh bangsa anak-anak Melayu itu.
Sungguh malang kekayaan mereka hasil daripada DEB, telah menghukum bangsa lain yang memperkenalkannya.
Saya enggan menulis panjang lebar, tapi bacalah buku itu. Saya mohon supaya buku itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Pembaca juga boleh membaca kertas kerja Dr. Rais yang ditulis sempena 50 tahun Merdeka bertajuk: Peranan DEB membina negara Malaysia bersatu dalam kepelbagaian. (THE ROLE OF THE NEW ECONOMIC POLICY (NEP) IN BUILDING A UNITED MALAYSIAN NATION IN DIVERSITY)
Kertas kerja itu boleh diikuti menerusi: http://bigdogdotcom.wordpress.com/ 2008/08/10/the-role-of-the-new-
economic-policy-nep-in-building-a-
united-malaysian-nation-in-diversity/
Dalam kertas itu, Dr. Rais merakamkan terima kasih kepada mentor dan gurunya, Just Faaland (Tan Sri), pengasas Michelsen Institute di Bergen, Norway yang membenarkan beliau menggunakan sebahagian bahan daripada kertas kerjanya berkaitan DEB.
Faaland bersama-sama Dr. Rais adalah orang yang bertanggungjawab merangka DEB.
Kertas kerja Faaland itu dibentangkan di satu simposium antarabangsa anjuran Bank Pusat Namibia pada September 2007.
Negara-negara Afrika, kebanyakan menghadapi masalah yang sama seperti Malaysia, amat berminat mempelajari pengalaman Malaysia melaksanakan DEB. Iaitu untuk menghasilkan pertumbuhan ekonomi secara maksimum yang dalam masa yang sama menyeimbangkan kedudukan ekonomi pelbagai ethnik.
Tan Sri Faaland, bekas Penasihat Ekonomi kepada Almarhum Tun Abdul Razak, semasa pertelingkahan kaum 1969, merangka DEB yang menjadi tulang belakang sistem ekonomi negara sejak 1970.
Dr. Rais kini ialah Penasihat Kanan di Michelsen Institute di Norway. Institut ini ialah sebuah pertubuhan hak asasi manusia dan hak-hak sosio-ekonomi.
Sila baca dan belilah buku itu. Kuasa politik kini sudah gagal menguasai kebangkitan kuasa ekonomi. Tanpa kuasa ekonomi, orang Melayu akan hilang.
Ayuh berjihadlah orang Melayu, kuasai ekonomi!

29 Mei 2013

Guru jangan menongkah arus

PUTRAJAYA 28 Mei - Para guru diingatkan agar tidak menongkah arus dengan mengambil langkah menyongsang dalam isu membabitkan dasar pendidikan negara kerana tindakan itu hanya akan merugikan generasi muda dan diri sendiri.
Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata, ingatan tersebut dibuat kerana pelaksanaan setiap dasar pendidikan negara adalah berada di atas bahu setiap guru.
Menurut beliau, golongan itu seharusnya memastikan segala tugas pembelajaran dan pengajaran yang sedang serta bakal mereka laksanakan menepati visi dan misi negara.
''Pihak kerajaan selaku penggubal dasar telah menjana dasar-dasar yang utuh dan bersepadu dalam usaha merekayasakan sistem pendidikan negara melalui Pelan Transformasi Pembangunan Pendidikan Negara (PTPPN) 2013-2025.
''Saya ingin mengingatkan kepada semua guru bahawa sistem pendidikan negara kini sememangnya sudah berada di landasan yang betul," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ketiga Institut Pendidikan Guru (IPG) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Seramai 779 graduan IPG menerima ijazah masing-masing dalam majlis tersebut.
Mengulas lanjut Abdul Ghafar berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru untuk merungkai cabaran dunia pendidikan yang kini dilihat semakin rumit dan kompleks.
Malah, beliau menambah, tanggungjawab itu juga sejajar dengan usaha kerajaan dalam usaha mencapai Wawasan Pendidikan Negara menjelang tahun 2020.

Pas Kelantan tolak Arab Spring

KOTA BHARU 28 Mei - Pas Kelantan senada dengan beberapa pemimpin utama parti itu menolak sebarang usaha yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengambil alih kerajaan dengan cara kekerasan dan melalui demonstrasi jalanan.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya menyedari bahawa menurunkan kerajaan dengan menggunakan kaedah 'Arab Spring' tidak memberikan sebarang faedah malah ia akan menghancurkan negara ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, pendirian tersebut adalah selari dengan pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah menjelaskan perkara tersebut lebih awal lagi.
"Kita tidak bersetuju dengan cara 'Arab Spring' turun ke jalan raya dan menggunakan kekerasan kerana ia tidak sesuai dengan negara ini malah ia akan memberikan banyak keburukan kepada negara.
"Kita boleh tunggu tiga tahun lagi kerana kita menjangkakan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh tiga tahun lagi, tidak ada masalah, kita menyokong penuh demokrasi dan pertukaran kerajaan perlu dilakukan melalui proses demokrasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siri perhimpunan haram yang diadakan oleh pakatan pembangkang dan diketuai oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 berakhir kira-kira tiga minggu lalu.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din turut menolak perhimpunan haram yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang sekiranya didapati boleh membawa masalah, kemusnahan serta mencetuskan huru-hara kepada negara.
Mohd. Amar bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) berhubung PRU-13 lalu.
"Masalah penyelewengan dan salah laku, kita memang bersama tidak bersetuju dan menentang kelemahan SPR, ini adalah pendirian kita bersama (dalam pakatan pembangkang).
"Di sini ada dua isu, isu apakah kita patut turun ke jalan raya adalah isu yang berbeza. Pendirian Pas Pusat pun tidak bersetuju kalau menjatuhkan kerajaan kekerasan dan melanggar undang-undang, pendirian DAP pun sama dalam isu ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya telah menyerahkan kepada pasukan peguam untuk memfailkan petisyen pilihan raya sekurang-kurangnya di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Air Lanas, Kok Lanas, Selising dan Dabong.
"Secara umumnya kita akan melihat kepada kawasan yang kalah dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi dan mempunyai bukti-bukti yang kukuh seperti membeli undi bagi membuat petisyen pilihan raya.
"Minggu depan akan ada mesyuarat politik Pas Kelantan, kita akan lihat bagaimana keadaannya selepas mendapat nasihat daripada peguam dan dirujuk kepada Pas Pusat," katanya.

28 Mei 2013

LPT Fasa 2 dijangka siap akhir tahun depan

KUALA TERENGGANU 27 Mei - Kesemua 16 pakej fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2) dijangka siap selewat-lewatnya akhir tahun depan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.
Beliau berkata, sehingga kini, sembilan dari 16 pakej LPT 2 telah siap.
"Kita tahu rakyat pantai timur meletakkan harapan lebuh raya ini siap dengan kadar segera.
"Kami harap dapat menyelesaikan permasalahan bahagian kontraktor yang lambat menyiapkan kerja serta kami akan mencari jalan bagaimana dapat membantu memastikan kerja disiapkan pada tarikh yang disasarkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Plaza Tol Kuala Terengganu yang belum dibuka secara rasmi kepada awam serta meninjau kerja di sepanjang lebuh raya sehingga ke Plaza Tol Bukit Besi di Dungun hari ini.
Ini merupakan lawatan kerja pertama Ahli Parlimen Petra Jaya itu ke Terengganu setelah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir. Rosli Othman.
Sambil memberi jaminan beberapa masalah pembinaan lebuh raya yang dihadapi telah diatasi pihak pelaksana, Fadilah berkata, buat masa ini kawasan yang bermasalah dikesan tidak banyak.
"Kalau terkebelakang pun hanya 0.3 peratus hingga tiga peratus kelewatan masa," katanya.

Dewan Pemuda PAS selar Ketua AMK

Kuala Lumpur: Dewan Pemuda PAS menyelar Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin, supaya tidak berlagak sebagai hero dengan mencela Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bendahari pergerakan itu, Khairil Nizam Khirudin, turut mengingatkan Shamsul Iskandar supaya tidak cuba mengajar PAS mengenai konsep tahalluf siyasi jika gagal memahami maksud sebenar dan syaratnya.
“Jangan jadikan tahalluf siyasi dan peluang menghentam Tuan Guru Presiden sebagai modal untuk berlagak hero di hadapan perwakilan AMK. Jangan mencela Tuan Guru Presiden seolah-olah beliau bercakap mengikut nafsu ketika mengkritik.

Kenyataan biadab
“Ia kasar dan biadab untuk dikaitkan dengan tindakan Tuan Guru Presiden,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Iskandar dalam ucapan dasar AMK di Kongres PKR, Jumaat lalu, secara lantang mengkritik kepemimpinan PAS terutama tindakan Abdul Hadi mengeluarkan watikah bertanding kepada calon parti itu yang terbabit dalam isu pertindihan kerusi dengan calon PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ahli Parlimen Bukit Katil itu turut menegur Abdul Hadi yang kononnya mencerca calon parti sekutu PAS termasuk PKR ketika PRU-13, selain menganggap kepemimpinan PAS punca pembangkang kalah di kerusi terbabit.

Pembangkang kalah di semua tujuh kerusi yang bertindih iaitu tiga kerusi di Terengganu (Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera), masing-masing satu di Selangor (Kota Damansara), Pulau Pinang (Sungai Acheh), Johor (Panti) serta kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan.

Khairil Nizam turut meminta Shamsul Iskandar tidak membuat kenyataan seolah-olah tahaluf siyasi datang daripada PKR dan cuba mengajar PAS perkara berkenaan.

“Jika Shamsul fakih (faham) mengenai tahalluf siyasi sehingga boleh menegur Tuan Guru Presiden, maka sila datangkan apa-apa juga kajian daripada PKR dan AMK dari segi usul dan kaedah fiqhnya atau apa-apa saja justifikasi yang membuktikan PAS melanggar tahalluf siyasi.

“Pengeluaran watikah dan kenyataan Tuan Guru Presiden mengkritik calon tertentu yang diketengahkan untuk bertanding adalah kerana PAS melihat berlaku pelanggaran syarat yang boleh menjejaskan tahalluf siyasi,” katanya. | hwa 28Mei

Program 'Women Deliver'

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Program 'Women Deliver' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin, May 28, 2013 10:59 am

BN perlu berani berubah - Najib

Najib Razak bersama Sheikh Mohd. Fauzi (kanan), Mohd. Fakharuddin Mohd. Arif (dua kanan), Abu Bakar Harun (tiga kanan) bersama kepemimpinan UMNO dan wakil parti komponen BN memotong pulut kuning dalam Majlis Kesyukuran UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad, Pekan, Pahang, semalam. 
*****
PEKAN 26 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) perlu terus melakukan perubahan dalam aspek strategi, pendekatan, pembaharuan program dan lebih pragmatik untuk kekal relevan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
Menurut Perdana Menteri, landskap politik negara terus berubah pantas menerusi proses urbanisasi, taraf hidup, pendidikan dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Beliau menambah, perkembangan itu memperlihatkan formula yang diguna pakai oleh BN selama ini mungkin tidak relevan lagi dan memerlukan pembaharuan mengikut kesesuaian semasa.
"Kita tidak boleh anggap apa diguna pakai selama ini sesuai pada masa akan datang. Perlu bersikap terbuka, pragmatik dan bukannya dogmatik serta menjadi sebuah parti yang sentiasa menyelesaikan masalah bukan menafikan masalah.
"Setiap pilihan raya umum akan datang lebih mencabar dan semakin besar cabaran menanti, parti politik perlu berani membawa unsur perubahan itu dengan menyegarkan imej parti dan jadikan ia lebih diterima rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran meraikan kejayaan BN Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ishak Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Mohamad Fakhruddin Mohd. Ariff; ADUN Chini, Datuk Abu Bakar Harun, ADUN Peramu Jaya, Datuk Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali dan ADUN Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.
Najib berkata, kejayaan mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum lalu memperlihatkan BN adalah sebuah parti yang unik.
"Tidak ada parti politik dalam demokrasi parlimen terbuka yang boleh gambar kejayaan seperti mana dicapai oleh BN kerana berjaya pertahankan rekod kecemerlangan secara tidak putus, sambung menyambung," katanya.
Bagi mengekalkan kejayaan tersebut, beliau berkata, parti perlu berani berubah sebelum rakyat mengubahnya dengan melakukan perubahan pragmatik.
"Kita (BN) perlu berani berubah sebelum rakyat menolak. Lakukan perubahan dan pragmatik inilah jadi pegangan sebab sekali pun kita berkuasa sekian lama, budi yang ditabur itu bukan hak kita untuk terus memimpin.
"Kejayaan besar tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Berani lakukan perubahan, fahami kehendak dan cita rasa serta denyut hati rakyat supaya BN terus dilihat dinamik dan relevan," katanya.
Beliau berkata, BN juga akan mengenal pasti sebab mengapa mereka yang tidak menyokong parti itu dalam pilihan raya umum lalu.
"Dalam demokrasi terbuka, mustahil bagi kita mendapatkan sokongan 100 peratus tetapi kalau ada kesungguhan, ikhlas dan berdiri atas kebenaran rakyat akan sokong akhirnya," katanya.
Dalam pada itu, Najib mengingatkan wakil rakyat BN supaya berkhidmat dengan ikhlas kepada rakyat sebagai jaminan kelangsungan parti untuk terus relevan pada masa akan datang.
Katanya, bukan matlamat wakil rakyat menjadi yang berhormat dan mendapat kuasa tetapi memiliki kedua-dua itu adalah atas tujuan untuk berkhidmat kepada rakyat.
"Bawa diri kita dengan baik, tegur menegur, jangan sombong, jangan angkuh dan jangan mungkir janji.
"Bawalah diri kita dengan tawaduk. Kalau kita bersikap rendah diri, rakyat akan kasih kepada kita," katanya.

PM jamin kerajaan lakukan perubahan, fahami keperluan belia

KUALA LUMPUR 27 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan oleh melakukan perubahan dalam negara dengan memahami keperluan belia.
Sambil menegaskan bahawa tidak ada yang bersifat tetap, Perdana Menteri berkata, kerajaan mesti berani dan sedia melakukan perubahan yang dapat memenuhi ekpektasi rakyat.
"Sama ada cepat atau tidak, perubahan akan berlaku. Saya jamin bahawa kerajaan akan lakukan perubahan dalam negara, dan ini bererti memahami keperluan belia.
"Kita perlu mengubah sikap, strategi, program dan pendekatan kita kerana kita tidak lagi boleh menganggap apa yang kita amalkan sekarang sebagai penyelesaian terbaik untuk masa depan.
"Kita perlu punya minda terbuka dan bersikap pragmatik, bukan dogmatik," kata beliau dalam kiriman Facebooknya. - BERNAMA

Cadangan Karpal mansuh Dewan Negara satu penghinaan - Senator

KUALA LUMPUR 27 Mei - Senator Datuk Boon Som Inong menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memansuhkan Dewan Negara sebagai satu penghinaan.
Beliau berkata, selain menghina Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kewujudan dua Majlis Parlimen untuk menggubal undang-undang, ia turut menghina Yang di-Pertuan Agong yang melantik anggota Dewan Negara.
"Mengikut Perkara 45 (2), ahli-ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong adalah orang yang pada pendapat Seri Paduka telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan dan perkhidmatan sosial serta mewakili kepentingan kaum minoriti dan Orang Asli.
"Oleh itu, kenyataan Karpal Singh menggambarkan bahawa perlantikan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong itu sebagai sia-sia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini sebagai membalas kenyataan yang dibuat Karpal pada 18 Mei lepas.
Boon berkata, kenyataan Karpal bahawa Dewan Negara menyebabkan rakyat menanggung perbelanjaan yang tidak berkepentingan juga adalah keterlaluan dan tidak berasas sama sekali.
Katanya, kewujudan Dewan Negara adalah bagi mengimbangi penggubalan undang-undang oleh anggota Dewan Rakyat yang dipilih menerusi proses pilihan raya.
"Memandangkan anggota Dewan Negara terdiri daripada wakil setiap negeri, mewakili pelbagai profesion di dalam negara serta kaum minorirti seperti Orang Asli dan masyarakat Siam, maka mereka mempunyai hak dan peluang untuk memberikan pandangan terhadap undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat," katanya.
Boon, yang dilantik sebagai Senator mewakili masyarakat Siam berkata, beliau sendiri gembira kerana berpeluang mengetengahkan isu serta masalah yang dihadapi masyarakat berkenaan yang akhirnya mendapat perhatian kerajaan.
Beliau juga menyifatkan percubaan memansuhkan Dewan Negara sebagai cubaan menafikan kebebasan hak bersuara kaum minoriti.
Justeru, dengan tanggapan buruk yang diberi oleh Karpal terhadap Dewan Negara, beliau mencabar anggota Parlimen Bukit Gelugor itu mengarahkan semua Senator yang dilantik mewakili negeri yang diperintah pakatan rakyat meletakkan jawatan dan tidak lagi menghantar wakil mereka ke Dewan itu pada masa depan.
Dalam pada itu, Boon berkata, pelantikan anggota Kabinet adalah hak istimewa Perdana Menteri, termasuk jika dilantik daripada kalangan anggota Dewan Negara, yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya tuduhan Karpal bahawa Perdana Menteri melantik beberapa anggota Kabinet melalui 'pintu belakang' adalah keterlaluan dan menghina, selain cuba meracuni fikiran rakyat dan meragui kebijaksanaan Perdana Menteri serta mereka yang dilantik. - BERNAMA

Mitos undi popular PRU-13

Tawadhu' dalam kemenangan, berlapang dada dalam kekalahan! Itulah sikap yang sepatutnya diambil oleh mana-mana insan yang berjiwa besar dalam menghadapi apa-apa pertandingan.
Sebaliknya Anwar Ibrahim, yang sebelum ini menyatakan akan bersara dan menjadi pensyarah jika kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), mengambil sikap berdolak dalik; enggan mengaku dia sudah ditolak secara muktamad oleh rakyat. Malah mengaku menang pula! Dan asas pengisytiharan kemenangan itu ialah kononnya undi popular (iaitu jumlah undi yang diperolehi oleh pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas) melebihi jumlah undi yang diperolehi Barisan Nasional (BN)!
Anwar dengan pembohongan dan putar-belit yang hebat cuba memperdaya dan memperbodohkan rakyat yang sudah sedia maklum kaedah pilihan raya yang telah diterima pakai oleh Malaysia sejak mula lagi (termasuk di banyak negara maju lain seperti Britain) adalah sistem first-past the-post; iaitu parti mana yang mendapat 112 kerusi dahulu adalah pemenang dalam PRU-13 dan berhak membentuk kerajaan.
Jumlah undi dikutip secara keseluruhan tidak pernah diterima sebagai kayu ukur kemenangan!
Namun agak malang ada segelintir rakyat terutama penyokong tegar dan taksub yang begitu mudah terpedaya dan diperbodohkan oleh Anwar! Dan kini mereka cuba menggulingkan kerajaan yang sah dipilih rakyat melalui jalan raya; setelah mereka ditolak di dalam pilihan raya!
Bayangkan dalam pertandingan akhir badminton Piala All-Malaysia di mana Datuk Seri Najib Tun Razak menentang Anwar, keputusannya seperti berikut:
1. Set 1 - Najib 21 Anwar 19;
2. Set 2 - Anwar 21 Najib 03;
3. Set 3 - Najib 21 Anwar 19.
Apabila pengadil mengumumkan Najib menang dengan 2-1, Anwar tiba-tiba bangkit melalak mendakwa dia patut menang kerana mendapat 59 poin atau 57% daripada jumlah keseluruhan point pertandingan (sebanyak 104); sedangkan Najib hanya mendapat 45 point atau 43% daripada keseluruhan point pertandingan!
Saya cukup pasti kalau Anwar mendakwa sedemikian, penonton sama ada akan berkata dia sakit otak, atau tidak ada otak langsung! Kerana apa? Kerana kita semua tahu dalam pertandingan badminton, penentuan juara ditentukan melalui jumlah set yang dimenangi, bukan jumlah point yang dikutip!
Begitu jugalah dengan pilihan raya umum. Rakyat Malaysia dan seluruh dunia tahu bahawa pemenang PRU-13 ditentukan melalui jumlah kerusi yang diperolehi, bukan jumlah undi yang dikutip! Tetapi namanya Anwar, nafsu serakah yang meluap-luap untuk dimahkotakan sebagai Perdana Menteri bersemayam di Putrajaya menyebabkan dia sanggup melakukan pembohongan besar dan memutar-belit fakta. Ini satu penghinaan kepada rakyat Malaysia!
Walau bagaimana pun, saya mahu mengupas isu berkenaan undi popular ini dan membuktikan kepada rakyat bahawa Anwar ini sebenarnya pembohong tegar dan kaki putar-belit yang cukup hebat.
Isunya, benarkah Anwar dan pembangkang DAP-PKR-Pas memperolehi undi popular terbanyak dalam PRU-13? Atau ia hanya sekadar mitos yang dibohongi dan diputarbelitkan untuk memperdaya golongan yang mudah diperdaya?
Mari kita lihat analisis berikut:
1. UNDI POPULAR BN YANG TERBANYAK
Dalam PRU-13, parti utama yang bertanding ialah BN, Democratic Action Party (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam SeMalaysia (Pas).
BN menggunakan lambang Dacing, DAP lambang roket, PKR lambang mata satu, dan Pas lambang bulan.
Jumlah pengundi berdaftar yang layak mengundi dalam PRU-13 ialah 13,268,002; namun yang turun mengundi hanyalah 11,257,147 atau 84%. Pengundi akan memangkah nama calon mengikut nama dan nama serta lambing parti yang bertanding.
Kita tengok carta keputusan PRU-13 seperti berikut (setelah ditolak undi rosak 1.8%):
Jelas daripada carta di atas bahawa kalau mengikut undi popular, kedudukannya adalah seperti berikut:
1. BN memperolehi undi popular paling banyak iaitu 46.53% atau 5,237,699;
2. PKR kedua dengan 20.03% atau 2,254,328;
3. DAP tempat ketiga dengan 15.42% atau 1,736,267;
4. Pas tempat keempat dengan 14.51% atau 1,633,389;
5. Parti-parti lain & Bebas di tempat kelima dengan 1.71% atau 192,904;
6. Undi rosak pula adalah sebanyak 1.8% atau 202,560.
Jadi di mana logik Anwar menyatakan dia memperolehi undi popular paling banyak. Tohmahan Anwar mendakwa jumlah undi yang diperolehi oleh gabungan DAP-PKR-Pas sebanyak 5,623,984 (atau 49.96%), melebihi 386,285 undi (atau 3.43%) berbanding BN (yang memperolehi 5,237,699 atau 46.53%) adalah satu pembohongan dan putar-belit kerana:
1. DAP-PKR-Pas bertanding berasingan menggunakan lambang masing-masing; yang tertera di atas kertas undi ialah lambang roket (DAP)-bulan(Pas)-mata satu (PKR); langsung tidak ada lambang bersama pembangkang;
2. Ada konstituensi di mana berlaku pertandingan sesama sendiri di antara DAP-PKR-Pas; seperti Sg Aceh, Kota Damansara dan lain-lain;
3. Gabungan DAP-PKR-Pas sebagai Pakatan Rakyat tidak ujud dalam PRU-13 ini, malah ia sebuah badan yang tidak berdaftar dan tidak bertanding atas lambang sendiri pun!
Rumusannya ialah jika menggunakan kaedah undi popular sebagai kayu pengukur kemenangan dalam PRU-13, sebenarnya BN memperolehi undi terbanyak berbanding dengan tiga parti utama lain iatu DAP, PKR mahupun Pas!
Sewajarnya BN memenangi PRU-13, dan membentuk Kerajaan Persekutuan!
2. KENAPA DAP MENDAPAT 38 KERUSI?
Kalau mengikut logik Anwar bahawa undi popular sepatutnya menentukan jumlah kerusi, maka urutan jumlah kerusi sepatutnya saperti berikut:
1. BN dengan 46.53% undi sebanyak 103 kerusi (sebenarnya 133 kerusi);
2. PKR dengan 20.03% undi sebanyak 45 kerusi (sebenarnya 30 kerusi);
3. DAP dengan 15.42% undi sebanyak 34 kerusi (sebenarnya 38 kerusi);
4. Pas dengan 14.51% undi sebanyak 32 kerusi (sebenarnya 21 kerusi);
5. Bebas dengan 1.71% undi sebanyak 4 kerusi (sebenarnya tiada kerusi);
6. Undi rosak sebanyak 1.8% mewakili 4 kerusi.
Persoalannya ialah bagaimana DAP yang memperolehi undi popular ketiga sebanyak 15.42% sepatutnya hanya mendapat tempat ketiga dengan 34 kerusi kalau mengikut kaedah perkiraan undi popular. Tetapi sebaliknya DAP mendapat jumlah kerusi kedua terbanyak iaitu 38 melebihi PKR yang kononnya mendapat undi popular kedua terbanyak? Sedangkan PKR yang memperolehi undi popular kedua selepas BN sebanyak 20.03% hanya memperolehi 30 kerusi ditempat ketiga!
Mengapa Anwar tidak menjerit melalak mendesak kerusi DAP dikurangkan sebanyak 4 kerusi kepada 34 kerusi daripada 38 kerusi yang sebenarnya dimenangi oleh DAP?
Jawapannya mudah. Anwar sekadar memutar-belit fakta yang hanya menguntungkan dia dari segi politik. Tetapi bila kena batang hidung sendiri, dia sepi membisu sebagaimana dia membisu tentang dimana jam Omega yang ditemui Datuk Eskay dalam peristiwa China-Doll!
Datuk Zulkifli Noordin ialah Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa)

Perhimpunan haram pembangkang hanya 'sarkas politik'

SELEPAS mengadakan lapan perhimpunan haram sebelum ini di seluruh negara, semalam mereka meneruskan acara songsang itu di Petaling Jaya dengan hujah utama berlaku penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Seperti biasa yang menjadi sasaran serangan mereka ialah Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Penulis tidak berhasrat menyentuh jumlah yang hadir, pembangkang berbangga untuk menyatakan berapa sahaja jumlah kehadiran tetapi apa yang ingin dipersoalkan adakah ia memberi manfaat kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya.
Perhimpunan haram yang diadakan oleh pembangkang itu tidak lebih daripada 'sarkas politik' bagi melahirkan perasaan tidak puas hati serta mengubat hati yang tidak mampu menerima kekalahan dalam pilihan raya umum lalu.
Apatah lagi, ia sesuatu kekecewaan bagi pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana cita-cita mereka untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri terus menemui kegagalan.
Selain melemparkan pelbagai tuduhan yang sepatutnya dibuktikan di mahkamah, pembangkang juga terus mengelirukan rakyat dengan menyatakan mereka menang dalam pilihan raya kali ini kerana mendapat undi popular lebih banyak daripada BN.
Tidak perlu lagi kita menjelaskan kepada puak-puak pembangkang ini apa bezanya first past the post iaitu cuma seorang wakil rakyat mewakili kawasan ditandingi dan bukan single transferable vote seperti mana diguna negara-negara republik.
Buat penjelasan macam mana pun, mereka tidak akan terima kerana mereka sudah butakan mata, pekakkan telinga dan menutup hati untuk menerima fakta sebenar.
Pemimpin-pemimpin mereka yang kononnya memperjuangkan suara rakyat suara keramat terus menipu dan mengelirukan rakyat dengan memainkan isu undi popular ini.
Mereka tidak jujur dalam berpolitik apatah lagi bagi menegakkan demokrasi. Sebab itulah mereka bersedia melakukan penipuan dan pembohongan bagi mengelirukan rakyat.
Apa yang anehnya, ketika mereka menyatakan SPR bersekongkol dengan BN melakukan penipuan, mereka mengiktiraf pula keputusan-keputusan lain yang menyebelahi mereka.
Sebab itulah, penulis beranggapan perhimpunan haram anjuran pembangkang sekadar 'sarkas politik' untuk melempiaskan kemarahan mereka kerana kegagalan menguasai kerusi Parlimen yang boleh melayakkan mereka menubuhkan kerajaan.
Tidak perlu berasa hairan dengan 'sarkas politik' pembangkang ini kerana mereka adalah kelompok yang 'gila bayang' sebab sebelum ini pemimpin-pemimpin mereka begitu berangan-angan apa akan berlaku jika mereka memerintah sehingga ada yang berkhayal soal bagaimana acara mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri berlangsung.
Apabila sudah ada pemimpin utama yang dah berkhayal jadi Perdana Menteri, maka si pengikut-pengikutnya pula berkhayal mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet.
Dan mereka terus mengelamun dalam arus yang mereka cipta sendiri kononnya rakyat kini akan menyebelahi mereka bagi menumbangkan kerajaan BN.
Namun ternyata semua itu tidak menjadi kenyataan, keputusan PRU-13 meranapkan impian dan mimpi indah pembangkang.
Jika pada 2008, mereka mencipta impian 16 September dengan menguar-uarkan pembangkang akan menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang berikutan kononnya ada ahli Parlimen BN yang akan melompat parti, pada pilihan raya umum kali ini tuduhan BN menipu pula menjadi modal.
Inilah standard pembangkang yang ada di negara kita. Mereka sentiasa sahaja tidak mahu menerima kekalahan, sebaliknya mahu menerima kemenangan sahaja.
Sebab itulah, apa yang dipamerkan oleh pembangkang ini ibarat 'sarkas politik' yang tidak akan menguntungkan masa depan negara.
Perasaan teruja untuk berkuasa, kemaruk kepada kuasa dan ketagih menawan Putrajaya menyebabkan mereka bersedia mempertaruhkan segala-galanya asalkan impian mereka tercapai.
Pemimpin-pemimpin pembangkang bersedia menjadi 'badut-badut' untuk 'menghiburkan' penyokong-penyokong mereka melalui kata-kata hasutan dengan niat yang boleh mendorong kepada tercetusnya huru-hara kepada negara.
Oleh kerana mereka bersedia berbuat demikian demi memuaskan nafsu politik mereka, maka mereka juga perlu bersedia menerima tindak balas pihak polis dalam usaha memastikan suara majoriti yang telah membuat keputusan memilih BN dalam PRU-13 lalu tidak bangkit menentang kegilaan pembangkang merebut kuasa.
Jika pembangkang semakin yakin bahawa mereka bertambah kuat, mereka tidak perlu bimbang untuk menunggu lima tahun lagi bagi bertarung dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
Tetapi pembangkang sudah tidak sabar untuk berkuasa, sebab itulah mereka mahu menyeret rakyat sekali lagi turun ke jalanan dan mengajar rakyat melanggar undang-undang melalui perhimpunan haram.
Sebenarnya, mereka hanya mahu mencetuskan huru-hara di negara ini dengan menjatuhkan kerajaan secara tidak sah. Sebab itulah, dakwaan kononnya berlaku penipuan hanyalah bahan bagi memeriahkan 'sarkas politik' pembangkang.
Kalau pembangkang yakin ada penipuan dan akan berjaya di mahkamah nanti, kumpulkan bukti dan buatlah petisyen. Tambahan pula Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ariffin Zakaria sudah meminta supaya semua kes petisyen PRU-13 diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
Namun kita percaya pembangkang tidak jujur dalam soal ini kerana mereka lebih suka untuk mengadakan demonstrasi jalanan yang sudah menjadi 'budaya politik' mereka sejak 1998.
Bagaimanapun dalam keghairahan itu mereka terlupa dan sengaja melupakan bahawa biar apa pun berlaku kerajaan BN tidak akan tumbang melalui demonstrasi jalanan.
Ia memandangkan rakyat Malaysia termasuk dalam kalangan sebahagian penyokong pembangkang sendiri pun tidak suka kepada huru-hara dan keganasan.
Kalau betullah majoriti rakyat Malaysia tidak percaya kepada sistem pilihan raya yang dikendali oleh SPR sudah pasti jumlah keluar mengundi tidak akan mencecah 11,257,147 juta (84 peratus) daripada 13,268,002 pengundi berdaftar.
Malah mana mungkin Pas akan kekal memerintah di Kelantan, DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor.
Oleh itu cukup-cukuplah memperbodohkan rakyat kerana akhirnya rakyat akan mengetahui juga siapa sebenarnya yang sengaja memperbodohkan diri semata-mata kemaruk kuasa!

'Biar pahit asalkan mujarab'

A. SAKTHIVEL, Datuk S. Murugesan dan T.Mohan, antara nama calon MIC yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Walaupun bernasib baik terpilih juga sebagai calon untuk PRU-13 pada 5 Mei lalu, namun nasib masih tidak menyebelahi mereka. Dan tewas lebih teruk lagi.
Sesiapa pun masih tidak faham mengapa Presiden MIC, Datuk G.Palanivel masih memerlukan mereka yang kalah pada 2008 untuk dijana sebagai 'winnable candidate'.
Sudah tentu Pengerusi BN bergantung kepada penilaian Palanivel tetapi kenapa beliau masih main 'sembunyi-sembunyi' bahawa calon-calon MIC di Selangor sebenarnya bukanlah 'winnable'.
Melainkan P. Kamalanathan menang di Parlimen Hulu Selangor, realitinya MIC memang tidak memiliki calon-calon berwibawa boleh menang di Selangor. Ini terutamanya Kota Raja, Kapar, Subang serta tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Ijok , Seri Andalas dan Batu Caves.
Pencapaian MIC dalam PRU-13 masih belum selamat meskipun menambah satu lagi kerusi Parlimen berbanding tiga pada 2008. Di peringkat DUN pula, MIC tewas teruk sekadar meraih lima daripada 18 kerusi yang ditandingi.
Meskipun dalam dua minggu selepas pilihan raya, dikatakan sudah nampak perubahan dalam hala tuju MIC namun dalam masa terdekat ini, MIC memerlukan lebih banyak orang berpendidikan dari parti itu.
Ini untuk menunjukkan kepada masyarakat India yang MIC benar-benar telah melalui transformasi kepemimpinannya demi menunjukkan corak masa depan cerah komuniti India.
Begitupun dalam tempoh perubahan parti ini diambil, masih ada kesilapan yang berlaku dan memerlukan satu langkah tegas ke hadapan untuk mengekangnya.
Antaranya yang terbaharu selepas PRU-13 apabila diteliti soal peletakan jawatan Setiausaha Agung, Murugesan yang memanglah diakui suatu pergerakan yang bagus kerana beliau sendiri kalah buat kali kedua dengan jumlah undi lebih besar, 29,000 undi.
Namun lain ceritanya apabila Murugesan digantikan pula dengan Sakhtivel yang kalah dengan bilangan undi lebih kurang serupa, 28,000 undi. Adakah pengisian kekosongan jawatan setiausaha agung parti sesuatu remeh? Ini cukup 'merisaukan' kerana setiausaha agung berperanan besar dalam mencatur jentera parti.
Dan kalau 'bersambung-sambung' perkhidmatan macam dulu, maka dikhuatiri akan 'dibaca' tindakan itu sebagai mengundang bencana. Yang seolah-olah MIC tidak memberi peluang kepada orang lain. Dan ini menunjukkan juga orang India yang nak masuk MIC mempunyai perasaan berbelah bahagi.
Pada masa sama, ia jelas memperlihatkan kelemahan MIC dalam meletakkan muka-muka baharu dan segar serta belum lagi 'dirosakkan' imej mereka.
Ada kalangan dalam MIC memberitahu penulis: "Sebab langkah ini bukan sahaja melemahkan MIC pada mata rakyat malah tempiasnya juga membawa padah pada BN, MCA dan Gerakan.
Katakan mereka bertanding di satu-satu kawasan yang mempunyai pengundi kalangan masyarakat India. Dan apabila pengundi tidak merasai persekitaran yang baik serta transformasi dimainkan MIC yang menjadi tonggak BN, maka kepincangan itu lebih terarah kepada MIC yang mewakili kaum India.
Buat masa ini ada kalangan dalam MIC mengadu tidak mendapat pembelaan daripada pucuk pimpinan. Ini menjadi keluh-kesah mereka kerana ada pemimpin tertinggi MIC apabila dihubungi, tidak mahu jawab panggilan. Apabila dihantar pesanan termasuk SMS, juga tidak dibalas.
Palanivel sendiri dikatakan tidak nampak kelibat turun padang ke Selangor semasa pilihan raya umum baru-baru ini.
Sedangkan di negeri itu ketara unsur sabotaj terhadap MIC. Daripada 28 kerusi yang ditandingi MIC pada PRU-13 yang sepatutnya dipantau dengan serius, di sebalik itu beberapa pemimpin atasnya dikatakan asyik memikirkan 'perkara lain'. Sehinggakan dikatakan begitu 'liat' untuk turun padang melainkan jaga kerusi yang ditandingi sahaja. Antaranya, Parlimen Cameron Highlands. Di Selangor, dia dikatakan hanya meletakkan calon-calon dari MIC yang diketahui umum begitu lemah.
Barangkali itu antara sebab pucuk pimpinan BN mengiktiraf komitmen Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) dalam memperjuangkan masyarakat India.
Ini membawa kepada menandatangani memorandum persefahaman dengan Hindraf dan pelantikan pengerusinya, P. Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Per dana Menteri.
Di Cameron Highlands, banyak ranjau yang terpaksa dilalui Palanivel, 67, sebelum mampu menang di kerusi penyandang rakannya, Devamany itu. Beliau tidak mendapat kemenangan mudah apabila memperoleh majoriti tipis 462 undi terhadap pencabar utama, M. Manogaran, 53, bekas ahli Parlimen Teluk Intan dari parti DAP.
Timbalannya, Dr. Subramaniam pula berjaya menutup mulut calon 'gergasi' pembangkang Datuk Chua Jui Meng dan 'bonusnya' Subramaniam melangkaui bosnya ke kementerian lebih prestij, Kementerian Kesihatan.
Pemimpin MIC yang memilik imej sempurna, P. Kamalanathan pula berjaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti 3,414 undi dalam pertandingan empat penjuru menentang calon PKR, Khalid Jaafar dan dua calon bebas Datuk Dr R.Santhara Kumar dan Radzali Mokhtar.
MIC perlu memikul tanggungjawab besar membantu UMNO. Masyarakat India perlu memandang jauh ke depan.
Bercakaplah benar kepada pucuk pimpinan, walaupun pahit.
Biar pahit asalkan mujarab untuk pucuk pimpinan merancang kesinambungan mandat BN yang lebih dihargai rakyat, sekali gus memacu masa depan parti dan negara.

Remaja perlu celik undang-undang

Perbuatan berkumpul dengan berbaju hitam sambil menterbalikkan bendera Malaysia, jika diiringi dengan niat menunjukkan benci kepada kerajaan, menghina kerajaan atau mengapi-apikan rasa tidak setia kepada kerajaan atau menggulingkan kerajaan secara tidak sah, juga adalah kesalahan menghasut. 
*****
GENERASI Y, yang pada satu hari nanti diharap menjadi pemimpin negara berwibawa, perlu celik undang-undang.
Oleh itu, mereka mesti mampu menggunakan akal fikiran secara waras dan tidak akan membenarkan diri ditipu oleh orang lain (biasanya yang lebih tua dari mereka) yang punyai agenda selfish tersendiri, bukan agenda nasional yang mementingkan kesejahteraan seluruh rakyat negara ini.
Generasi Y ini (yang lazimnya mudah mempercayai orang lain, terutama orang yang lebih berpengalaman dari mereka) mesti peka bahawa mereka sedang diperalatkan oleh puppet-master yang amat licik memanipulasi pihak lain.
Antara undang-undang negara yang Generasi Y mesti faham sepenuhnya adalah undang-undang jenayah hasutan, yang terkandung dalam Akta Hasutan 1948 (Akta 15), mulai berkuatkuasa sebelum merdeka tetapi telah disemak semula pada 1969.
Akta ini mengandungi 11 seksyen sahaja. Yang terpenting adalah seksyen 3, yang mengandungi huraian terperinci istilah "kecenderungan menghasut" dan seksyen 4, iaitu yang menyatakan hukuman bagi kesalahan menghasut.
Sesuatu ucapan itu dikira mengandungi "kecenderungan menghasut" sekiranya ia -
(i) Mendatangkan kebencian terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;
(ii) Mendatangkan penghinaan terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;
(iii) Membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;
(iv) Membangkitkan (mengapi-apikan) rakyat supaya cuba mendapatkan perubahan dengan apa cara yang tidak sah;
(v) Mendatangkan kebencian atau penghinaan atau perasaan tidak setia kepada institusi kehakiman negara;
(vi) Menimbulkan rasa tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di Pertuan Agong atau Raja;
(vii) Mengembangkan rasa niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di negara ini;
(viii) Mempersoalkan perkara-perkara sensitif yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan (misalnya Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181).
Sebagai contoh, andainya seorang ahli politik atau aktivis itu, ketika berucap di satu perhimpunan (sama ada tertutup atau sewaktu menyertai protes jalanan) ada melafazkan kata-kata seperti "Ayuh tuan-tuan dan puan-puan. Mari kita sama-sama turun ke jalan raya dan kita gulingkan kerajaan yang ada sekarang ini menerusi kuasa rakyat (people power)" itu sudah prima facie merupakan satu ucapan yang menghasut, kerana ia mengapi-apikan rakyat untuk mendapat perubahan secara tidak sah, bukan menerusi proses pilihan raya.
Begitu juga, jika dalam ucapannya, dia menimbulkan rasa benci terhadap mana-mana raja atau kerajaan, dia juga telah melakukan kesalahan menghasut. Ataupun dalam ceramahnya dia ada menghina mana-mana raja atau kerajaan, atau ada menimbulkan rasa tidak setia kepada mana-mana raja atau kerajaan atau menimbulkan rasa tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong.
Samalah juga halnya sekiranya semasa dia berucap dia ada mengembangkan rasa niat jahat atau permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di negara ini, dia juga telah melakukan kesalahan menghasut.
Tidak lama dulu saya sempat berbual panjang dengan seorang kenalan, Dr. Ho (bukan nama sebenarnya), tokoh akademik dari sebuah pusat pengajian tinggi tempatan, kini sudah bersara. Bila saya tanya pendapatnya tentang sikap dan pendirian pengundi kaum Cina di Pulau Pinang khasnya dan di seluruh negara amnya, saya terkejut bila dia menjawab bahawa sebahagian besar pengundi Cina tidak lagi percayakan Kerajaan Persekutuan kerana kerajaan itu "telah gagal memelihara kebajikan kaum Cina" di seluruh negara. Bila saya katakan kepadanya bahawa itu adalah tidak betul dan satu pembohongan, kenalan saya itu berkata walaupun kenyataan itu tidak benar, ia menjadi propaganda yang sentiasa dijadikan modal pihak berkenaan mendapatkan sokongan kaum itu.
Nampaknya propaganda yang sama telah dijadikan bahan sebaran am menerusi media sosial oleh cyber troopers (tentera maya) pihak pembangkang menjelang PRU13. Pada waktu itu ramai di kalangan sahabat yang aktif menggunakan media sosial sudah mengetahui dan merasakan peranan jahat Red Bean Army ini, tetapi nampaknya ramai dalam kalangan ahli politik BN yang terus selesa dan "under-estimate" (gagal menyedari) kesan buruk perbuatan jahat pasukan cyber troopers ini.
Jika kita lihat secara teliti maksud seksyen 3 Akta ini, jelas sudah perbuatan menyebarkan maklumat salah menerusi media sosial dengan niat menimbulkan rasa benci rakyat terhadap kerajaan atau rasa tidak setia kepadanya adalah satu kesalahan menghasut. Sesiapa sahaja yang mengambil bahagian, secara sedar atau tidak, menyebarkan maklumat palsu itu di kalangan rakyat, boleh diheret ke mahkamah kerana melakukan kesalahan menghasut.
Dan jika rasa benci dan tidak puas hati kepada kerajaan itu diapi-apikan lagi dengan seruan dan ajakan agar rakyat turun ke jalan raya bagi maksud menggulingkan kerajaan secara tidak sah, itu menambahkan lagi kesalahan menghasut yang dilakukan.
Perbuatan berkumpul dengan berbaju hitam sambil menterbalikkan bendera Malaysia, jika diiringi dengan niat menunjukkan benci kepada kerajaan, menghina kerajaan atau mengapi-apikan rasa tidak setia kepada kerajaan atau menggulingkan kerajaan secara tidak sah, juga adalah kesalahan menghasut.
Sekiranya seorang itu telah diheret ke mahkamah kerana melakukan kesalahan menghasut, dan disabitkan kesalahannya di bawah seksyen 4(b) Akta (iaitu "menyebut apa-apa perkataan menghasut"), dia boleh dikenakan hukuman (bagi kesalahan pertama) penjara tidak melebihi 3 tahun, denda RM5000 atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berikutnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari 5 tahun.
Andainya orang itu ada dalam miliknya penerbitan menghasut, ia juga adalah satu kesalahan, dan jika dia disabitkan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 18 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan selanjutnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun.
Sementara itu, proses tangkapan dan siasatan mengenai kesalahan menghasut ini dijalankan polis, tidak ada pendakwaan boleh dijalankan ke atas mana-mana tertuduh kecuali izin bertulis telah terlebih dahulu diperolehi dari Pendakwa Raya - Seksyen 5. Ini bermakna segala pertuduhan dan pendakwaan kes-kes hasutan akan ditapis dan dinilai terlebih dahulu oleh Peguam Negara (selaku Pendakwa Raya) sebelum sesuatu kes hasutan itu boleh sampai ke mahkamah.
Seksyen 11 Akta ini memberi kuasa kepada mana-mana Pegawai Polis yang berpangkat tidak rendah dari Inspektor menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan, cuba melakukan, menyebabkan atau bersubahat dengan mana-mana orang untuk melakukan kesalahan di bawah Akta ini.
Ini bermakna bahawa tindakan awal memerangi anasir penghasut di negara kita ini adalah tanggungjawab PDRM. Tidak timbul soal bahawa sekiranya seorang itu ditangkap dan disiasat oleh pihak polis kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta ini, ia merupakan tindakan kuku besi Kerajaan Pusat. Menghasut adalah satu kesalahan jenayah biasa, di bawah satu undang-undang yang telah lama wujud. Ia tidak sewajarnya dipolitikkan.

Hasut, tipu rakyat taktik Anwar jadi PM

KUALA LUMPUR 26 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta berhenti menjadikan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai alasan untuk menghasut dan menanam sifat benci rakyat terhadap kerajaan.
Penganalisis Politik, Dr. Chandra Muzaffar berkata, Anwar masih menggunakan pendekatan sama iaitu mengelirukan rakyat dengan menggunakan pembohongan kononnya berlaku 'penipuan besar-besaran' semasa pilihan raya.
Tambahnya, ekoran alasan itu, rakyat yang termakan hasutan telah menyertai bantahan serta perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan walaupun cara tersebut adalah tidak demokratik dan tidak mengikut undang-undang negara.
"Saya melihat Anwar mahu jadikan negara ini seperti Mesir yang berjaya menukar kerajaan sedia ada melalui perhimpunan.
"Ini adalah satu-satunya taktik menjadi Perdana Menteri dengan segera apabila beliau gagal meraih sokongan rakyat melalui peti undi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan pembangkang bahawa berlakunya penipuan pada PRU-13 lalu tetapi mereka gagal menunjukkan bukti, malah tidak membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berpendapat, gelombang kebencian yang dicetuskan Ketua Pembangkang itu akan berterusan selagi mendapat sokongan rakyat.
"Fahaman politik rakyat masih lagi dangkal dan kerana itu golongan muda mudah taksub dengan pemimpin yang disifatkan sebagai 'raja penipuan' apabila Anwar telah mengumumkan beliau menang pilihan raya pukul 6.57 petang sedangkan ketika itu masih proses pengiraan undi.
"Anwar bijak bermain psikologi dan persepsi dalam menarik rakyat menuding jari kepada kerajaan apabila keputusan pilihan raya menunjukkan sebaliknya. Rakyat perlu sedar Anwar sedang mengerah tenaga mereka untuk mencapai impiannya," ujar Chandra.
Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Shamsul Adabi Mamat turut melihat Anwar tidak akan berhenti daripada membuat provokasi dan terus 'membakar' rakyat kerana cara itu sahaja membolehkan pembangkang memperolehi kuasa.
'Kebijaksanaan' Anwar, katanya, berjaya mengarahkan pertubuhan bukan kerajaan propembangkang, DAP dan Pas bersubahat dalam agendanya mengelirukan rakyat.
Pun begitu jelasnya, perkara tersebut boleh diatasi dengan menggunakan pendekatan lebih tegas.
"Sudah tiba masanya Kementerian Dalam Negeri bersama pihak berkuasa berhenti daripada sekadar memberi arahan. Masanya sudah tiba untuk dikenakan tindakan tegas terhadap pengkhianat negara.
"Penahanan perlu dibuat secara serius termasuk pesalah disabitkan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Perhimpunan Aman 2012. Cara berlembut tidak lagi berkesan kepada 'orang keras kepala' seperti mereka," katanya.

Himpunan semakin lesu, hanya dihadiri kumpulan yang sama

KUALA LUMPUR 26 Mei - Perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang untuk membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah perancangan strategik yang telah lama diatur untuk menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan.
Namun, perhimpunan itu semakin lesu kerana hanya dihadiri muka-muka yang sama dan pakatan pembangkang yang diketuai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kehabisan isu untuk mengheret rakyat dalam perjuangan peribadinya menguasai Putrajaya.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, beliau amat yakin Anwar semakin terdesak dan tidak berkemampuan untuk menunggu lagi lima tahun bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
"Anwar sekarang sedang malu, dia telah memberi keyakinan kepada DAP dan Pas tetapi akhirnya mereka kalah. Bagi tutup malu, Anwar perlu tipu rakyat sekali lagi tetapi ternyata dia tiada bukti jelas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeleweng keputusan PRU-13.
"Saya tahu bukan semua pemimpin pakatan pembangkang yang setuju dengan gerakan Anwar ini. Oleh itu, saya nasihatkan mereka betulkan saf dan kembali ke jalan sistem demokrasi sebelum rakyat terus membenci mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ruangan Awang Selamat di Mingguan Malaysia yang menegaskan kemenangan BN dalam PRU-13 telah diiktiraf dan semua pihak perlu menolak gelombang penipuan serta manipulasi pihak pembangkang terutama DAP dan PKR.
Sementara itu, menurut Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong, berdasarkan maklumat diperoleh, perhimpunan-perhimpunan anjuran pembangkang di seluruh negara hanya dihadiri oleh muka-muka sama dengan jumlah penyokong telah dimanipulasikan portal propembangkang.
Katanya, perhimpunan yang diadakan di Dataran Petaling Jaya semalam hanya mampu memuatkan sekitar 8,000 orang tetapi portal seperti Malaysiakini telah memperbesar-besarkan anggaran kononnya seramai 70,000 orang.
"Kita boleh lihat 80 peratus penyokong perhimpunan itu adalah terdiri daripada masyarakat Cina terutama pemuda-pemudi yang tidak tahu apa-apa, mereka masih bermimpi kerajaan boleh diubah dan orang yang memberi mimpi ini ialah Anwar Ibrahim.
"Kalau benar PRU-13 penuh dengan penipuan, saya cabar Anwar serta rakan-rakannya untuk tidak mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat pada bulan hadapan dan saya juga cabar mereka untuk tidak mengambil elaun dan kemudahan sebagai wakil rakyat," katanya.
Lum Yong menyarankan kerajaan mengambil langkah tegas dan bijaksana untuk menangani perhimpunan pembangkang itu agar tidak terperangkap dalam permainan Anwar yang hanya tahu memainkan emosi rakyat untuk dibawa ke jalan raya.